suria

KLHC Pertahan Piala Sumbangsih Buat Kali Keempat

Pemain KLHC meraikan kejayaan mereka. Foto Zabidi Tusin/The Star.

KUALA TERENGGANU: Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) berjaya mengekalkan Piala Sumbangsih selepas menewaskan Pasukan Hoki Terengganu(THT) 6-5 menerusi pukulan penalti dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, di sini, malam Jumaat.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2-2 sebelum pemenang ditentukan menerusi pukulan penalti.

Dengan kemenangan pada malam Jumaat pasukan pelawat menundukkan musuh tradisinya, THT dan memastikan piala itu kekal di Kuala Lumpur buat kali keempat.

KLHC mendahului THT pada minit ke-31, menerusi Muhammad Noor Faeez Ibrahim tetapi selang dua minit selepas itu THT menerusi ayam tambatannya Faizal Saari menyamakan kedudukan.

KLHC di bawah bimbingan Muhammad Harun Alrashid Samri terus mengasak gawang tuan rumah sebelum memperolehi gol kedua di minit ke-51 menerusi Muhammad Umar Bhutta menerusi gol padang.

Enggan berputih mata anak didik Sarjit Singh melakukan serangan balas dan Jang Jonghyun berjaya menyamakan kedudukan dengan pukulan sudut di minit ke-56 permainan.

Piala Sumbangsih disampaikan kepada pemenang perlawanan malam Jumaat, KLHC oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Wan Nawawi Wan Ismail. - BERNAMA

KLHC, Piala Sumbangsih

Artikel Lain