suria

Gaduh Ketika Sesi Latihan, Costa Digugurkan Dalam Aksi Menentang Leicester

PENYERANG Chelsea, Diego Costa dilaporkan digugurkan daripada senarai pemain yang berkunjung ke Leicester City selepas berbalah dengan jurulatih kecergasan semasa sesi latihan.

Laporan The Telegraph mendakwa Costa tidak berlatih dengan skuad tersebut sejak tiga hari lalu selepas berbalah dengan jurulatih kecergasan, Julio Tous.

Pertengkaran itu turut memaksa campur tangan Pengurus Antonio Conte.

Menurut The Mail, Costa dilaporkan bertengkar dengan kakitangan perubatan mengenai tahap kecederaan belakangnya yang semakin meruncing.

"Costa dipercayai bergelut dengan masalah di bahagian belakang yang boleh dikaitkan dengan sejarah kecederaan hamstringnya sebelum ini.

"Namun kakitangan perubatan The Blues tidak mengendahkan aduan Costa dan Conte turut menyokong kakitangannya."

Pemain berusia 28 tahun itu tidak akan berkunjung ke Leicester untuk pertembungan lewat malam ini dengan The Mail mendakwa masa depan Costa kini dalam keadaan samar.

Costa turut menerima beberapa tawaran lumayan daripada China tetapi difahamkan pemilik Chelsea, Roman Abramovich mahu mengekalkan pemain itu sehingga kontraknya tamat pada 2019.

Kelab China, Tianjin Quanjian bersedia menawarkan 30 juta pound setahun untuk Costa, lapor Sky Sports.

Pasukan Liga Super China itu turut dikatakan bersedia memujuk Chelsea untuk melepaskan Costa dengan menawarkan yuran perpindahan bernilai 80 juta pound.

Tianjin Quanjin diuruskan oleh bekas kapten Itali Fabio Cannavaro dan baru-baru ini berjaya mengikat pemain Zenit St Petersburg, Axel Witsel.

Malah ejen Costa, Jorge Mendes turut bertemu pengerusi Tianjin pada Jumaat.

Chelsea bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin itu.










Diego Costa, Chelsea

Artikel Sebelum

Schlupp Kini Milik Palace

Artikel Berikut

Artikel Lain