suria

JCorp Akan Terus Taja Skuad Harimau Selatan

PETALING JAYA: Johor Corporation (JCorp) akan terus menaja pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai memikul tanggungjawab korporat terhadap pembangunan sukan di negeri itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, perbadanan negeri itu yang ditubuhkan 46 tahun lalu bertujuan menyumbang kepada pembangunan negeri termasuk bidang sukan.

Jelas beliau, penajaan JDT dibuat atas nilai komersial yang dimiliki oleh skuad Harimau Selatan itu yang boleh memberi keuntungan kepada syarikat.

"Ini dapat dibuktikan apabila laman sosial media JDT sendiri iaitu JOHOR Southern Tigers merupakan laman rasmi pasukan bola sepak terbesar di negara ini dengan memiliki 1.7 juta 'likes' di Facebook, 450,000 pengikut di Instagram dan 121,000 pengikut di Twitter.

"Berdasarkan jumlah pengikut di media sosial, jelas menunjukkan bahawa pasukan JDT mempunyai rangkaian penyokong yang ramai dan mempunyai nilai-nilai komersial yang baik buat Johor Corporation," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Selain itu, status JDT sebagai antara pasukan yang terkemuka di benua Asia membuatkan JCorp akan terus menaja pasukan itu.

Menurut Kamaruzzaman, gelaran juara Piala AFC pada 2015 merupakan peluang baik untuk penjenamaan Kumpulan JCorp yang memiliki rangkaian perniagaan dan jenama antarabangsa seperti KFC, PH, KPJ Healthcare di beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia, Kemboja, Brunei dan Australia.

Tambah beliau, JCorp juga akan meneruskan penajaan kepada JDT yang merupakan pasukan kesayangan rakyat Johor sejak Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil-alih kepimpinan skuad tersebut.

"Hingga ke hari ini, Johor Corporation berbangga menjadi sebahagian daripada kegemilangan pasukan JDT apatah lagi ia telah memenangi pelbagai piala baik di peringkat domestik mahupun Asia dalam tempoh masa singkat.

"Semoga penajaan berterusan Johor Corporation ini dapat membantu JDT untuk terus menjadi pasukan bola sepak terbaik di negara dan rantau ini. Insya-Allah," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain