suria

FAP Umum Lapan Pemain Baharu Harimau Kumbang

Ashley Westwood.

GEORGE TOWN: Bekas pemain pertahanan bawah umur 23 tahun (B-23) Australia, Diogo Alexandre Alves Ferreira adalah antara tiga pemain import skuad Pulau Pinang bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Ferreira, 27, yang dilahirkan di Footscray, Melbourne, sebelum ini beraksi untuk kelab Persib Bandung dalam Liga Indonesia.

Dua lagi pemain import Pulau Pinang adalah pemain sayap kebangsaan Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba, 24; dan pemain kebangsaan Hong Kong, Andrew James Russell, 29 yang beraksi di posisi tengah.

Ketiga-tiga pemain itu diperkenalkan kepada media oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bersama lima lagi pemain tempatan baharu termasuk penyerang kebangsaan, Yong Kuong Yong, 28, dan bekas pertahanan negara, K Reuben, 26.

Tiga lagi anggota baharu adalah pemain pertahanan skuad B-22 negara, Muhammad Zulkhairi Zulkeply, 21; bekas penjaga gol Universiti Sains Malaysia FC, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, 22; dan bekas pemain tengah Kuantan FA, Shazalee Ramlee, 22.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood juga berkata beliau akan mengubah sistem dalam skuad itu termasuk waktu latihan dan intensiti latihan.

"Kami sedang melakukan perubahan. Latihan akan mengambil masa lebih lama dan intensitinya juga ditingkatkan," katanya pada majlis pengumuman lapan pemain baharu itu.

Westwood menegaskan semua pemain harus mempunyai sikap yang baik untuk memastikan kejayaan pasukan itu dalam Liga Malaysia.

"Saya boleh melatih pemain tanpa mengira kemampuan mereka. Kami mahu melihat sikap pemain, mereka perlu profesional untuk diserapkan dalam sistem yang cuba diperkenalkan," katanya.

Beliau berkata tumpuan utamanya adalah untuk meningkatkan keupayaan pasukan musim ini berbanding pungutan mata atau kedudukan dalam liga.

"Saya cukup positif jika mereka (pemain) bekerja keras dan mempunyai sikap yang baik serta melaksanakan tugas mereka, semuanya pasti akan menjadi," katanya. - BERNAMA

FAP, pemain baharu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain