suria

Fifa Lulus 48 Pasukan Berentap Piala Dunia 2026

Gianni Infantino.

MAJLIS Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sebulat suara meluluskan 48 pasukan untuk berentap pada temasya Piala Dunia bermula edisi 2026 dalam satu undian di Zurich.

Pelan yang diselia Presiden Gianni Infantino itu bermakna kejohanan tersebut kini mengandungi 16 kumpulan membabitkan tiga pasukan dalam peringkat kumpulan.

Infantino turut mencadangkan Fifa juga boleh memperkenalkan sepakan penalti selepas perlawanan peringkat kumpulan yang berakhir dengan keputusan seri.

Dua pasukan teratas setiap satu daripada 16 kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Akan ada 80 perlawanan secara keseluruhan dalam kejohanan tersebut.

Pasa ketika ini, dalam format 32 pasukan, 62 perlawanan diadakan secara keseluruhan.

Slot dari benua Eropah dalam pertandingan itu akan meningkat dari 13 kepada 16.

Afrika ditetapkan dengan sembilan slot berbanding lima dan Asia turut mendapat manfaatnya apabila memperoleh empat penyertaan tambahan dalam pertandingan tersebut.

Keputusan utama lain mengenai penganjur temasya tersebut tidak dijadualkan untuk dipertimbangkan sehingga 2020 dengan bidaan dari Amerika Syarikat (AS) - sama ada secara sendiri atau bersama dengan salah satu atau kedua-dua negara Kanada serta Mexico, negara pilihan utama pada awalnya.

Penyertaan pasukan tambahan juga bertujuan untuk meningkatkan pendapatan Fifa.

Kaji selidik mereka menunjukkan bahawa kejohanan yang berkembang itu akan meraih keuntungan tambahan sebanyak 521 juta pound daripada format sedia ada.

Menerusi kiraan kasar Fifa, pendapatan hasil temasya itu akan meningkat kepada 5.29 bilion dengan penyertaan 48 pasukan.

Idea Infantino itu telah dikritik Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman, Reinhard Grindel.

"Kami asasnya yakin bahawa penyertaan 32 negara pada temasya ini perlu dikekalkan. Kejohanan dunia merupakan temasya yang menjadi ilham, mengapa ia perlu diubah," katanya.

Namun idea Infantino disokong Pengurus Manchester United, Jose Mourinho dan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.


Fifa, Piala Dunia 2026

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain