suria

Bantah Keputusan Pengadil, Perlawanan Semula Farkhan-Kaseba Dijangka Mac

Aksi Muhammad Farkhan ketika menentang Sheikh Kaseba. -foto FB Johor Southern Tigers
JOHOR BAHRU: Satu perlawanan semula di antara peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Mohd Haron dan Sheikh Kaseba dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) kategori 'Light Heavyweight', mungkin diadakan pada Mac ini.

Ini berikutan bantahan Kaseba terhadap keputusan pengadil yang menghentikan perlawanan di antara dua peninju itu semasa pukulan TKO (technical knockout), yang kemudian memberikan kemenangan kepada Muhammad Farkhan sebagai juara tali pinggang light heavyweight pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017 di sini malam Sabtu.

Pengurus Kaseba, Shomari Ayoub Kimbau mendakwa mengikut peraturan, hanya selepas TKO ketiga, pengadil boleh menghentikan perlawanan.

"Bagaimanapun, semasa TKO pertama, Kaseba dipukul dan jatuh. Dalam kes ini, pengadil sepatutnya mengira hingga 10, tetapi Kaseba melutut dan sedia untuk meneruskan (tetapi) pengadil tidak mengira dan hanya melambai untuk menghentikan perlawanan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini Ahad.

Sementara itu, Kaseba berkata beliau bersedia untuk perlawanan semula dan menyifatkan peninju Malaysia itu sebagai 'seorang peninju yang bagus'.

Dalam pada itu, penganjur kejohanan, Pengarah Urusan Cartel International Alexander Shah mengesahkan menerima permohonan perlawanan semula di antara Kaseba dan Muhammad Farkhan.

"Kita akan berjumpa dan berbincang balik dengan kedua-dua belah pihak dan di pihak Muhammad Farkhan, tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertarung semula.

"Kita akan senaraikan perlawanan mereka di Kejohanan WBC kategori Welterweight Silver Champion di Singapura sebagai perlawanan undercard," katanya.

Muhammad Farkhan pula berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya perlawanan tersebut diadakan semula.

"Selepas perlawanan semalam, saya ada jumpa Kaseba dan dia memang memaklumkan kepada saya yang dia sudah tidak dapat menahan kesakitan selepas terkena pukulan pada hulu hati, tetapi pengurusnya tidak berpuas hati dan saya tidak ada sebarang masalah jika ia diadakan semula.

"Pada saya, pengadil telah melaksanakan tugasnya dengan betul kerana dia bertugas untuk menjaga keselamatan pemain ketika pertarungan. Dalam perlawanan semalam, pengadil ada membuat pengiraan dan Kaseba pun bangun lambat dan tidak bersedia, jadi pengadil membuat keputusan menghentikan perlawanan," katanya lagi.

Perlawanan tersebut dijangka berlangsung pada 25 Mac ini di pentas antarabangsa OCBC Square, Singapura.

Dalam kejohanan malam tadi, anak kepada bekas peninju negara Mohd Haron Ismail itu, merangkul kejuaraan kategori WBC Asia Light Heavyweight selepas menumpaskan Kaseba dengan pukulan TKO pada minit kedua pusingan keempat.
Muhammad Farkhan, Sheikh Kaseba, JIBC

Artikel Sebelum

Keputusan Serie A

Artikel Lain