suria

Rooney Kembali Beraksi

MANCHESTER: Selepas tiga minggu tidak beraksi, Wayne Rooney kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Manchester United bagi pertembungan pusingan ketiga Piala FA menentang Reading, Sabtu malam.

Masalah kecederaan otot yang dialaminya menyebabkan Rooney terlepas keseluruhan jadual padat musim cuti.

Kapten United itu hanya kurang satu gol untuk menyamai rekod jaringan legenda kelab itu, Bobby Charlton iaitu 249 gol. 

Tampil dengan status selaku penyandang juara, United memulakan kempen di kejohanan berprestij itu sambil mensasarkan untuk memenanginya dengan rekod sebanyak 13 kali. 

Pengendali United, Jose Mourinho berkata Rooney akan berada dalam kesebelasan utama menentang Reading di Old Trafford bersama penjaga gol kedua, Sergio Romero.

Begitupun, masa depan dua lagi pemain Morgan Schneiderlin dan Memphis Depay kekal dalam keraguan sekali pun ada tawaran untuk mendapatkan mereka.

"Situasi mereka adalah sama, kedua-dua mereka dibenarkan untuk pergi. Jika kami terima tawaran yang betul. Sehingga ini, tidak. Adakah ia situasi yang baik? Tidak," kata Mourinho.

"Mengapa tidak? Kerana saya tidak fikir mereka sebagai pilihan ketika ini. Dalam keadaan normal mereka mungkin disenaraikan bagi perlawanan esok.

"Namun mereka tidak kerana mereka menunggu sesuatu yang beberapa minggu lalu nampak seperti 100 peratus dan ketika ini ia tampak seperti kosong peratus kerana kami tidak mendapat sebarang tawaran yang hampir dengan kualiti pemain yang kami miliki."

Kelab Inggeris, West Bromwich Albion sudah membuat tawaran terhadap Schneiderlin yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Everton manakala Depay diminati kelab Itali, AS Roma. 

Pemain tengah Jerman, Bastian Schweinsteiger yang tampak seperti lebihan di United awal musim ini ketika ini menjadi antara pencabar utama di bahagian tengah. 

"Dia boleh memulakan perlawanan, dia juga boleh berada di bangku simpanan, dia adalah pilihan kepada kami. Untuk beberapa bulan lalu dia bukan pilihan. Kami melakukan keputusan apabila kami membawanya kembali. Dia bersedia untuk bermain," kata Mourinho.

"Pendekatan saya ialah jika pemain tidak bermain, saya tidak akan menghalang pemain itu untuk pergi jika tawarannya betul. Bastian bermain beberapa minit menentang West Ham dan tiada lagi selepas itu. Dia mahu kekal, dia kekal kerana dia adalah pilihan." - Reuters

Rooney, United, Reading

Artikel Berikut

Artikel Lain