suria

Wenger Salahkan Jadual, Puji Kekuatan Mental Pemain

ARSENE Wenger menyalahkan jadual Liga Perdana Inggeris ekoran aksi lembab Arsenal pada awal musim dan terpaksa melihat anak buahnya bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk mengikat Bournemouth pada awal pagi Rabu.

Pengendali kelahiran Perancis itu berkata, pasukan lawan memiliki kelebihan kerana dapat berehat lebih lama berdasarkan jadual perlawanan yang telah ditetapkan berbanding pasukannya yang hanya berehat kurang 48 jam.

"Bournemouth wajar dipuji tetapi saya fikir kelebihan yang mereka miliki terlalu ketara kerana dapat berehat lebih lama.

"Apabila menentang pasukan yang telah berehat selama tiga hari manakala pasukan sendiri bermain pada hari lewat Ahad, pastinya menyukarkan kami.

"Jadual liga menyukarkan tugas saya sebagai jurulatih untuk memilih pemain yang cergas, tetapi saya perlu diam dan menangani perkara itu," katanya.

Wenger turut memuji semangat juang dan kekuatan mental anak buahnya untuk bangkit walaupun ketinggalan tiga gol.

"Secara keseluruhannya saya percaya mereka tidak mahu kalah dalam perlawanan tersebut dan saya perlu puji kekuatan mental yang mereka pamerkan.

"Soal mengejar kejuaraan, kami kehilangan dua mata berharga tetapi kami perlu melakukan lebih baik pada perlawanan seterusnya, selain berharap pasukan lain akan kehilangan mata," katanya.

Dalam perlawanan itu, Bournemouth mendahului 3-0 dalam tempoh 58 minit hasil jaringan Charlie Daniels, Callum Wilson dan Ryan Fraser.

Namun Arsenal hanya memerlukan tempoh 20 minit terakhir perlawanan untuk bangkit mengikat kedudukan menerusi gol daripada Alexis Sanchez, Lucas Perez dan Olivier Giroud.

Arsenal, Arsene Wenger, Bournemouth

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain