suria

Ronaldo Julang Trofi Ballon d'Or Buat Kali Keempat

Foto yang dikeluarkan oleh L'Equipe pada 12 Disember 2016 menunjukkan Cristiano Ronaldo bergambar dengan trofi Ballon d'Or di stadium Santiago Bernabeu di Madrid. Cristiano Ronaldo telah dinamakan sebagai pemenang Ballon d'Or 2016, kemenangan kali keempat buat dirinya.
BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo, merangkul gelaran pemain bola sepak terbaik, anugerah Ballon d'Or 2016.

Pada edisi kali ini, Ronaldo mengalahkan dua pesaing terdekatnya yang sama-sama bermain di La Liga, Lionel Messi (Barcelona) di tempat kedua dan Antoine Griezmann (Atletico Madrid) tempat ketiga.

Ini adalah trofi keempat Ronaldo yang diraih dalam anugerah ini.

Sebelum ini, pemain dari Portugal berusia 31 tahun ini telah dipilih sebagai pemenang pada tahun 2008, 2013 dan 2014.

Bagaimanapun Ronaldo ketinggalan satu koleksi untuk menyamai rekod Messi yang mengumpul lima koleksi trofi bagi anugerah ini.

Keputusan ini tidak mengejutkan dan sudah dijangka memandangkan prestasinya yang memberangsangkan pada tahun 2016.

Bekas bintang Manchester United ini meraih dua gelaran juara iaitu di Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan membawa Portugal menjuarai Piala Eropah.

"Ini merupakan saat-saat istimewa. Ia bermaksud semua pengorbanan saya tidak sia-sia. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya sudah bekerja sangat keras," kata Ronaldo melalui tayangan video ketika menerima penghargaan.

"Ramai yang telah membantu saya untuk berada di tahap ini dan tidak mudah untuk berdiri di sini. Anda boleh mengharapkan seorang pemain untuk mempertahankan tahapnya setiap tahun. Saya salah seorang daripada mereka dan ia membuatkan saya berasa bangga."


Pada 2016, Ronaldo secara keseluruhannya menyumbat masuk 51 gol dalam 54 pertandingan bersama Real Madrid dan 13 gol untuk Portugal. Ini merupakan pencapaiannya yang tertinggi dalam kariernya dalam tempoh satu tahun.

Sementara itu Messi, yang berada di tempat kedua untuk kali keempat juga memiliki prestasi baik.

Pemenang Ballon d'Or tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015 ini meraih gelaran juara La Liga dan Copa del Rey bersama Barcelona dan membantu Argentina layak ke final Copa America Centenario.

Griezmann, di tempat ketiga, membuat kejutan apabila menjadi penjaring terbanyak Piala Eropah 2016.

Persaingan tiga pemain ini bagaimanapun belum berakhir.

Selepas Ballon d'Or, mereka akan kembali bersaing dalam 'FIFA World Player of the Year'.

Anugerah ini akan disampaikan pada 9 Januari 2017 di Zurich, Swiss.

Artikel Lain