suria

RM450 Juta Tidak Jejas Penganjuran Sukan Tahun Depan - Khairy

Khairy menunjukkan kebolehan menendang bola ragbi di hadapan para pemain selepas perasmian Program Pembangunan Ragbi Negara di Padang Universiti Putra Malaysia Serdangpada Sabtu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin optimis penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 akan menjadi temasya sukan bersejarah tahun depan.

Khairy berkata biarpun peruntukan yang diumumkan pada perbentangan bajet hanya RM450 juta bukan RM500 juta namun beliau yakin penganjuran dwitahunan itu tidak akan terjejas dan berjalan lancar.

"Kita perlu buat pelaksanaan penganjuran dengan dana yang telah diluluskan. Ini adalah cabaran untuk kita, semua kementerian menghadapi cabaran yang sama. Peruntukan adalah RM450 juta bukan 500 juta. 

"Kita perlu lebih berjimat, saya yakin kita akan buat penganjuran yang terbaik dalam sejarah Sukan Sea tetapi saya perlu potong beberapa benda tetapi masih persembahan yang hebat," kata Khairy selepas merasmikan Program Pembangunan Ragbi Negara di Padang Ragbi B, Universti Putra Malaysia, Sabtu.

Khairy menjelaskan kementeriannya memahami situasi kerajaan yang sedikit tertekan dengan isu pendapatan negara ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM450 juta yang bagi penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan, sebagai tuan rumah.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada jumlah RM1.2 bilion bagi tujuan pembangunan sukan negara tahun depan.

Pada majlis hari ini, Khairy mengumumkan kementeriannya memperuntukkan RM2 juta bagi Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) bagi tempoh setahun.

"Bagi permulaan kita beri RM2 juta dan ia adalah perbelanjaan tunai. Program ini seperti PPBN (Program Pembangunan Bola Sepak Negara). Jumlah itu lebih melibatkan yuran untuk menyertai kejohanan dan beberapa perkara lain," katanya.

Program NRDP adalah salah satu perancangan strategik dengan visinya menjadikan pasukan ragbi negara nombor satu di Asia dalam tempoh lima tahun termasuk memupuk budaya sukan ragbi di peringkat sekolah dan universiti. 

Mengenai pembinaan stadium ragbi, Khairy berkata pihaknya masih mencari lokasi bersesuaian di Putrajaya.

"Saya tidak lupa janji mengenai stadium tetapi sekarang ini adalah berkenaan isu lokasi, ada satu tapak di Putrajaya tetapi kita masih berunding dengan pihak Perbadanan Putrajaya," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain