suria

Peluang Terbaik Untuk Pemain Kedah - Tan Cheng Hoe

PERTEMBUNGAN antara Kedah menentang Felda United dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat malam akan dijadikan pentas pemilihan bagi pemain yang akan membarisi kesebelasan utama skuad hijau kuning dalam aksi final Piala Malaysia minggu depan.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, walaupun perlawanan menentang Felda sekadar melengkapkan jadual kerana tidak dapat mengubah kedudukan tiga teratas liga namun ia penting buat skuad hijau kuning.

Ini kerana jelasnya, ia akan menjadi pentas kepada pemain untuk mempamerkan kemampuan mereka bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.

Menurutnya, perlawanan malam ini akan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk satu disiplin terbaik sebelum mereka menentang Selangor.

"Setakat ini kita belum ada bayangan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan akhir. Oleh itu perlawanan menentang Felda adalah peluang terbaik kepada mereka.

"Perlu diingat bahawa Felda juga merupakan pasukan terbaik kerana mereka berada di kedudukan kedua liga walaupun tidak ke final Piala Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, walaupun kemungkinan terdapat pemain akan direhatkan kerana mengalami kecederaan namun ia merupakan peluang terbaik kepada pemain simpanan untuk berusaha mendapatkan kemenangan di laman sendiri.

"Kita mungkin perlu merehatkan dahulu Khairul Helmi Johari kerana kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya untuk diturunkan dalam perlawanan kali ini.

"Tetapi kita ada pemain muda yang mampu menggalas tugas dengan baik bagi mengekang barisan serangan Felda.

"Pemain juga telah bersedia untuk perlawanan ini dan kita harap dapat mengakhiri saingan Liga Super dengan kemenangan kerana ia adalah perlawanan terakhir di Alor Setar untuk musim ini," ujarnya.

Cheng Hoe turut yakin aksi anak didiknya ketika menentang Felda akan mendapat suntikan semangat penyokong Kedah yang akan membanjiri Stadium Darul Aman.

Baginya, kehadiran penyokong merupakan kekuatan skuad hijau kuning dalam mencatatkan kejayaan pada musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain