suria

Kisah Hidup Chong Wei Diabadikan Dalam Filem

Peguam Brian Song Wei Kar (tengah) menyaksikan Chong Hoon (dua, kiri) yang mewakili Chong Wei bersalaman dengan Wakil CB Pictures Micheal Leong (dua, kanan) selepas MoU pada majlis Menandatangani Kontrak Filem Datuk Lee Chong Wei 'Rise of The Legend', Selasa. Turut hadir (dari, kiri) Penerbit filem Josiah Ching dan Pengarah Filem Teng Bee.Foto- Bernama

KUALA LUMPUR: Kisah perjalanan hidup pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan diabadikan dalam filem dan bakal menemui penonton pada 2018.

Filem biografi terbitan CB Pictures Sdn. Bhd., akan menjalani penggambaran pada pertengahan tahun depan dengan kos pembikinan dianggarkan antara RM4.5 juta dan RM6 juta.

Proses uji bakat untuk barisan pelakon akan diadakan Disember ini, kata produsernya, Josiah Chieng.

Menurutnya, pihaknya masih sedang dalam proses memujuk pemain nombor satudunia itu supaya turut berlakon dalam filem tersebut.

"Selama tiga tahun, kami memujuk Chong Wei untuk memberikan kita hak untuk kisah hidupnya difilemkan dan akhirnya beliau bersetuju dan memberikan kami hak tersebut," katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pemain itu dengan syarikat produksi itu di sini, Selasa.

Chong Wei, yang kini beraksi pada Siri Super Terbuka Denmark, diwakili abangnya, Lee Chong Hoong.

Chieng berkata genre filem adalah berbentuk motivasi yang akan menjadi inspirasi kepada semua, baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

"Datuk Lee Chong Wei adalah ikon sukan dan wira Malaysia.  Ceritanya adalah wajar bagi Malaysia...bukan sahaja perlu ditayangkan dalam negara malah di seluruh dunia," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Juara-Juara

Artikel Lain