suria

Nike Penaja Baharu Chelsea FC

LONDON: Chelsea pada Khamis mengumumkan kerjasama jangka panjang dengan jenama sukan terkemuka, Nike bermula tahun depan menerusi perjanjian yang dipercayai bernilai lebih 60 juta pound semusim.

Tanpa memberikan butiran kewangan, Chelsea berkata ia merupakan perjanjian komersial terbesar dalam sejarah kelab Liga Perdana Inggeris itu.

"Nike akan menghasilkan pakaian untuk pasukan pertama, akademi dan pasukan wanita serta pakaian untuk berjuta-juta penyokong Chelsea di seluruh dunia," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Kit semasa Chelsea dihasilkan oleh Adidas.

Pada Mei lalu, Adidas dan Chelsea mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan perjanjian pada 30 Jun 2017 dan bukannya pada 2023 seperti yang dipersetujui pada asalnya.

Ia sekaligus membolehkan kelab itu melakukan perjanjian baharu dengan pesaing lain.

Laporan media menyatakan Adidas telah membayar Chelsea kira-kira 30 juta pound setahun.

Perjanjian dengan Nike kini dianggarkan dua kali ganda daripada angka itu.

"Ini adalah satu perjanjian yang amat menarik dan penting untuk kelab," demikian menurut Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

Beliau menyatakan demikian kepada laman web kelab www.chelseafc.com.

"Kami percaya Nike akan dapat menyokong pertumbuhan kami dalam pasaran baru serta membantu kami mengekalkan tempat di kalangan kelab-kelab bola sepak elit di dunia."

Chelsea yang dimiliki oleh jutawan Rusia, Roman Abramovich memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris 2014-15.

Namun prestasi hambar musim lalu bermakna mereka gagal melayakkan diri dalam liga bola sepak Eropah.

Mereka kini di tangga ketujuh dalam liga selepas tujuh perlawanan.

Chelsea, Nike, Adidas, EPL

Artikel Lain