suria

Piala Malaysia: Tan Cheng Hoe Lega

KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menarik nafas lega apabila tonggak pertahanannya, Bang Seung Hwan mula menjalani latihan pada petang Ahad selepas terpaksa direhatkan akibat mengalami kecederaan sebelum ini.

Kehadiran pemain import dari Korea Selatan itu ke padang untuk menjalani latihan ringan memberi perkhabaran gembira buat skuad hijau kuning yang bakal berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Dalam separuh akhir pertama, Kedah berjaya menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Darul Aman dan Seung Hwan dikeluarkan pada pertengahan babak kedua kerana kecederaan yang dialami.

Menurut Cheng Hoe, ketiadaan Seung Hwan yang merupakan pemain berpengalaman diakui meresahkan dirinya sebagai pengendali, namun Kedah masih memiliki pemain muda yang mampu menggalas tugas di posisi berkenaan.

"Saya tidak pernah meragui kemampuan barisan pemain simpanan kerana mereka mampu menggalas tugas dengan cemerlang ketika diperlukan ia telah dibuktikan sejak musim lalu.

"Inilah kekuatan kami dan inilah fakta mengapa kami berjaya memastikan tempat ketiga pada Liga Super musim ini walaupun masih ada baki satu perlawanan lagi bertemu Felda United di Alor Setar pada 22 Oktober ini.

"Ketika bertemu PDRM pada perlawanan separuh akhir pertama saya tidak mempunyai pilihan untuk memberi peluang kepada Syafiq Ahmad dan Farhan Roslan kerana dua tonggak pertahanan kita mengalami kecederaan dan saya terpaksa memasukkan dua pemain pertahanan sebagai ganti.

"Syafiq membuktikan keupayaannya ketika beraksi bersama skuad Sukan Sea bertemu Brunei sebanyak dua kali dengan meledakkan tiga gol manakala Farhan beraksi baik ketika kita mengatasi Pulau Pinang pada perlawaanan persahabatan.

"Aksi Mohd Syawal Noordin turut memikat kerana dia berjaya mempamerkan permainan yang mantap dan meyakinkan ketika mengecewakan penyerang Pulau Pinang," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, Syafiq dan Amirul Hisyam Awang Kecik akan kembali menyertai latihan pada Rabu manakala Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari, Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali hanya akan bersama skuad itu pada Khamis sebelum pasukan bertolak ke Melaka.

"Kehadiran semula enam pemain yang beraksi bersama pasukan kebangsaan sudah pasti akan menambah keyakinan rakan sepasukan lain untuk meningkatkan lagi prestasi mereka kecuali Ariff Farhan Md Isa yang mengalami kecederaan pada lututnya dan tidak mampu beraksi sehingga musim depan.

"Kombinasi Shane Smeltz dengan Thiago Augusto  kini bertambah mantap untuk mengatasi pertahanan lawan dan ini sudah mereka membuktikan pada beberapa perlawanan lalu.

"Saya yakin dua tonggak bahagian serangan ini mampu membantu Kedah untuk mengulangi kejayaan musim lalu dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini. Apa yang lebih penting sekarang ialah memberi sepenuh perhatian untuk menang ke atas PDRM," jelas beliau.

Artikel Sebelum

Naza Hargai Wira Paralimpik

Artikel Berikut

Wales Nyaris Dimalukan Georgia

Artikel Lain