suria

Atlet Memanah Diberi Tempoh Dua Minggu jawab Isu Doping - NAAM

Gambar hiasan sibutramine.

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memberi tempoh dua minggu kepada dua pemenang pingat Sukan Malaysi (Sukma) di Sarawak yang didapati positif doping untuk memberikan penjelasan.

Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM Mejar (B) Amir Suharman Adnan berkata pihaknya telah menghantar surat mengenai perkara tersebut kepada persatuan memanah negeri sebagai wakil memandangkan kedua-dua atlet itu masih bersekolah.

Namun, sehingga kini badan induk sukan itu tidak boleh menyatakan nama atlet tersebut dan warna pingat yang diperoleh di SUKMA Sarawak pada Julai lepas.

"Kita menghantar surat kepada mereka (persatuan memanah negeri) pada Jumaat lepas dan mereka perlu menjelaskan perkara yang berlaku sebelum sebarang tindakan diambil.

"Atlet juga perlu beritahu sekiranya mereka mahu membuka sample B atau menjalani prosiding pendengaran berhubung kes doping mereka itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Amir Suharman berkata sekiranya didapati bersalah, dua atlet itu berdepan penggantungan empat tahun dan boleh dikurangkan sehingga dua tahun jika boleh membuktikan penggunaan tersebut bukan silap mereka.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini mengumumkan dua atlet itu didapati mengambil bahan terlarang jenis sibutramine iaitu bahan yang terkandung dalam ubat diet dan melangsingkan badan. 

Ia juga merupakan dadah yang sama dikesan digunakan atlet wusyu negara Tai Cheau Xuen ketika Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan sebelum ini.

Penggunaan sibutramine bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan Agensi Antidoping Dunia (WADA).

"Isu doping melibatkan sukan memanah adalah pertama kali berlaku, kita akan menyelesaikan perkara ini secepat yang mungkin," katanya.

Selain dua atlet memanah itu, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) yang menjalankan ujian doping dari 20 hingga 30 Julain lepas telah mendapati seorang atlet angkat berat didapati positif kerana mengambil bahan terlarang iaitu anabolic steroids manakala seorang lagi atlet tinju didapati positif diuretika.-Bernama

NAAM, Atlet memanah, doping

Artikel Lain