suria

FIFA Digesa Haramkan Perlawanan Kelab Israel

RAMALLAH: Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menggesa badan induk bola sepak dunia, FIFA untuk mengharamkan kelab bola sepak Israel mengadakan perlawanan di kawasan penempatan haram di wilayah jajahan Tebing Barat.

Ahli jawatankuasa bagi Jabatan Sukan PLO, Ali Ishaq dalam kenyataannya berkata, kegagalan FIFA untuk berbuat demikian secara tidak langsung menyokong aktiviti penempatan haram di wilayah Palestin.

"Aktiviti pembinaan penempatan pendatang haram Yahudi itu merupakan tidak sah dan dilarang oleh undang-undang antarangsa," katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Kenyataan Ali itu dikeluarkan dua hari selepas Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di New York menyuarakan isu yang sama.

Pengarah pertubuhan tersebut, Sari Bashi berkata, FIFA perlu mengharamkan enam kelab bola sepak Israel yang bermain di kawasan penempatan haram di wilayah Tebing Barat.

"Dengan mengadakan perlawanan di kawasan jajahan, FIFA telah merosakkan keindahan sukan bola sepak.

"Perlawanan kelab itu perlu dipindahkan ke Israel," ujarnya.

Palestin telah lama membantah penganjuran kejohanan bola sepak di kawasan penempatan melibatkan kelab divisyen tiga, empat dan lima.

Pengarah Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub mengesahkan pihaknya telah meminta Konfiderasi Bola Sepak Asia dan Kesatuan Eropah untuk membangkitkan kes itu kepada FIFA.

Pada awal bulan ini, seramai 66 anggota Parlimen Kesatuan Eropah menandatangani petisyen untuk menggesa Presiden FIFA, Gianni Infantino mengharamkan kelab Israel bermain di kawasan penempatan haram.

Berhubung bantahan tersebut, FIFA dijangka membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif pada 13 dan 14 Oktober ini.

Jika isu tersebut tidak diselesaikan, PFA dijangka menghidupkan semula usaha menyingkirkan atau menggantung Israel daripada FIFA.

FIFA, PLO, Palestin, Israel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain