suria

KJ Arah Ujian Doping Ke Atas Atlet Secara Rawak

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan mengarahkan ujian doping dilakukan secara rawak ke atas atlet yang disenarai pendek untuk Sukan SEA dan Para Asean akan datang.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes atlet yang disahkan positif ujian doping.

"Saya arahkan MSN dan diselaraskan dengan Adamas untuk ujian secara rawak kepada atlet yang disenarai pendek untuk Sukan SEA dan Sukan Para Asean, bukan hanya sewaktu pertandingan sahaja," katanya pada sidang media selepas melancarkan model Proton Saga generasi ketiga di Pusat Konvensyen Setia City di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai empat atlet yang disahkan positif ujian doping dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung di Sarawak, Julai lalu.

Khairy berkata, selain itu pendedahan mengenai bahan terlarang perlu diberikan kepada atlet, selain peranan jurulatih masing-masing berhubung kefahaman itu.

"Sudah diberi pendedahan tetapi masih ada yang tidak mematuhi. Jurulatih juga harus memahami apakah bahan-bahan larangan tersebut," katanya.

Mengenai empat atlet positif ujian doping, Khairy berkata, nama kesemua mereka tidak akan diumumkan sehingga ujian (Sampel B) dilakukan sebelum disenaraikan dalam sistem Adamas.

"Buat masa ini nama mereka tidak boleh diumumkan sehingga selesai proses ujian (seterusnya)," katanya.

Dua daripada empat atlet disahkan positif ujian doping daripada sukan memanah dan masing-masing satu daripada tinju dan angkat berat.

Keempat-empat atlet terbabit juga merupakan pemenang pingat dalam acara masing-masing.
Sukan SEA, doping, Adamas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain