suria

Wira Emas Paralimpik Kenang Jasa Guru

KANGAR: "Cikgu-cikgulah yang menjadikan siapa saya hari ini," kata atlet paralimpik Abdul Latif Romly yang meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada guru-gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi di sini, atlet muda itu menamakan Aznan Mat Isa dan Sanusi Zainal Abidin sebagai guru yang banyak membimbingnya menceburi bidang sukan.

Mereka berdualah yang banyak bersabar dengan sikap saya, melatih dan membimbing saya di SMK Syed Alwi. Bukan sahaja masa dan tenaga tetapi mereka turut berkorban wang ringgit demi saya sejak di Tingkatan Satu (2010) lagi, katanya.

Abdul Latif, 19, berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah Mini Astaka Abdul Latif Romly di SMK Syed Alwi pada Rabu, sempena kejayaannya memenangi emas menerusi acara lompat jauh T20 (kurang upaya intelektual) pada temasya itu.

Turut hadir ibu Abdul Latif, Salmah Yatim, Pengetua SMK Syed Alwi, Kaman Halit, bekas pengetua sekolah itu Selmiah Hasin dan bekas Penolong Kanan Kokurikulum sekolah Halijah Hashim.

Mini Astaka itu yang dinamakan sebagai Pavillion Abdul Latif Romly terletak di kawasan tepi padang sekolah berkenaan dan dijangka siap tahun depan.

Selain itu, beliau menamakan Ku Mansor Ku Hamid yang mula mengesan bakatnya dalam sukan semasa di Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, Beseri.

Terdahulu, Abdul Latif yang belajar di SMK Syed Alwi dari 2010 hingga 2014, diraikan oleh 1,480 warga sekolah berkenaan dalam satu majlis khas di sekolah itu hari ini.

Abdul Latif, yang mesra dipanggil Tip oleh guru-guru di sekolah itu, berkata walaupun telah menjulang kemenangan peringkat dunia, beliau tidak sama sekali lupa kepada mereka yang mencungkil bakat dan mendorongnya hingga menempa kejayaan itu.

"Kehidupan biasa saya sudah berubah menjadi 'tak biasa'. Langsung tidak pernah terfikir saya akan diiktiraf semua pihak sampai begini termasuk penamaan semula Rumah Kanak-Kanak Arau menjadi Rumah Kanak-Kanak Abdul Latif Romly...terima kasih," katanya.

Abdul Latif berkata beliau akan terus memberi tumpuan kepada latihannya bagi menghadapi kejohanan olahraga yang akan datang.

Saya berharap akan ada pelapis yang dapat bersaing bersama-sama saya atau mungkin sebagai pengganti saya pada masa akan datang. Namun, fokus saya masih sama iaitu buat yang terbaik dalam setiap acara," katanya.

Atlet itu akan ke Kuala Lumpur esokbagi menjalani latihan untuk menghadapi kejohanan Olahraga Dunia IPC di Dubai awal tahun depan dan menyertai Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Sept tahun depan.

Selepas majlis sambutan di sekolah berkenaan, Abdul Latif turut diraikan dalam kenduri kesyukuran di kampungnya di Paya Kelubi, Bukit Keteri di sini. - BERNAMA

Abdul Latif Romly

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain