suria

'Penyakit' Tarik Diri Berjangkit Ke Pasukan B-22 Negara

PETALING JAYA: 'Penyakit' tidak mahu atau menolak panggilan menyertai pasukan kebangsaan yang sebelum ini berlaku kepada skuad senior kini sudah mula berjangkit ke skuad muda Bawah 22 Tahun (B-22) Negara.

Mungkin boleh dianggap sebagai kes terpencil, tetapi jika dibiarkan ianya boleh menjadi 'kudis' kepada skuad persediaan Sukan Sea 2017 itu.

Pengurus B-22 Tahun, Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, setakat ini beliau belum pasti jumlah sebenar pemain yang terlibat dalam isu penarikan diri daripada menyertai latihan skuad negara.

"Saya kecewa walaupun hanya seorang sahaja yang terlibat setakat ini. Tambahan pula kita dalam persiapan untuk beraksi untuk Sukan Sea di Kuala Lumpur tahun depan.

"Sepatutnya inilah masa kita nak tunjukkan semangat 'nationalisme'. Dulu (panggilan menyertai skuad negara) menjadi satu kebanggaan, tetapi berbeza dengan sekarang.

"Saya sudah memberitahu jurulatih, selepas ini saya sanggup memilih budak kampung yang ada hati dan semangat bermain untuk negara berbanding dengan pemain yang ada nama besar tetapi tidak ada hati," jelasnya kepada media selepas Kongres Tahunan Ke-52 pada Khamis.

Rozabil mengulas mengenai tindakan Dominic Tan diarahkan pulang ke Johor setelah mula berlatih bersama pasukan B22 negara.


"Memang saya memberi pelepasan untuk dia pulang ke kelabnya. Kita tidak benarkan perkara ini berlaku, tetapi kami tidak boleh memaksa pemain yang tidak mendapat pelepasan kelab sendiri.

"Tidak guna kalau kita tetap letakkan pemain itu di atas padang dan dia tidak boleh bermain. Ini akan menjejaskan keseluruhan pasukan.

"Pun begitu apabila perkara ini berlaku, kita mengambil pandangan yang lebih positif dengan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk menyertai skuad negara," jelas beliau.

Rozabil menambah, masalah itu timbul kerana permintaan kelab dan FAM tidak boleh memaksa atau menahan pemain untuk terus berlatih bersama.

"Sebab itu, sebelum ini saya pernah minta agar semua pemain yang dipanggil agar boleh berkorban untuk negara. Malah masa mesyuarat dengan kelab-kelab sebelum ini pun saya sudah memninta mereka memberi peluang kepada pemain yang terpilih untuk menjalani latihan atau sesi bersama skuad negara.

"Malah kita juga turut memberi tiga pilihan kepada mereka agar memberi tarikh yang sesuai untuk melepaskan pemain-pemain kerana kami tahu masing-masing ada perancangan tersendiri.

"Segalanya bergantung kepada budi bicara kelab itu sendiri dan yang paling paling ialah hati (keikhlasan) pemain. Mereka (pemain-pemain) perlu ada hati untuk bermain," ujarnya lagi.

Bagi mengelakkan isu seperti itu terus menular kepada kelab-kelab lain, Rozabil bakal membawa perkara tersebut kepada mesyuarat tertinggi badan induk bola sepak selepas ini.

"Saya akan membincangkan perkara ini mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya ada lagi pemain yang tidak datang atau boikot panggilan skuad negara," ujarnya.

Sebelum ini,  ketua jurulatih B-22, Frank Bernhardt mendedahkan bekas ketua pasukan Harimau Muda C berusia 19 tahun itu mendapat panggilan saat-saat akhir daripada majikannya dan diarah untuk pulang sehari sebelum aksi persahabatan kedua menentang pasukan Bahrain (B-22).

Artikel Sebelum

Artikel Lain