suria

BAM Umum Rombakan Sabtu Ini

Morten Frost Hansen.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengumumkan rombakan terhadap sistem kejurulatihan dan program latihan pada Sabtu ini dalam usaha memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2020.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen mengesahkan bahawa sebarang keputusan mengenai rombakan tersebut akan hanya diumumkan selepas majlis pemberian insentif kepada pemenang pingat Sukan Olimpik Rio pada hari tersebut.

"Saya baru sahaja kembali dari percutian and saya akan mengemukakan laporan kajian semula penilaian Sukan Olimpik Rio pada mesyuarat akan datang.

"Banyak isu dibangkitkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan dan keputusan akan diumumkan pada Sabtu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, di sini Khamis.

Sebelum ini, Mohamad Norza berkata mesyuarat itu akan membincangkan nasib barisan jurulatih BAM termasuk jurulatih dari Indonesia, Hendarawan, yang membimbing Datuk Lee Chong Wei merangkul pingat perak ketiga di Olimpik.

Sementara itu, Frost, bekas lagenda Denmark, itu berkata beliau berhasrat membentuk sebuah pasukan yang seimbang dengan potensi meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik 2020.

"Saya pernah menyatakan bahawa tiada perlu melakukan perubahan kepada pasukan yang meraih kemenangan dan saya berpendapat kita perlu melakukan penyesuaian terhadap kumpulan pemain yang sedia ada serta latihan dan sebagainya.

"Sejak saya memegang jawatan ini 18 bulan lepas, saya melihat hala tuju badminton di negara ini berada di landasan yang baik," katanya.

Menurutnya, mereka akan menghantar barisan pemain terbaik untuk kejohanan Siri Super Terbuka Jepun bermula Selasa depan dan yakin pemain akan menampilkan aksi cemerlang walaupun sibuk menghadiri majlis penghargaan atas pencapaian di Olimpik Rio bulan lepas.

Pada temasya Olimpik Rio, badminton menyumbang tiga pingat perak untuk negara menerusi Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - BERNAMA

Morten Frost Hansen, BAM, rombakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain