suria

Man City Benam Gladbach 4-0, Aguero Cipta Hatrik

Sergio Aguero. -fotoEPA
MANCHESTER City berjaya memulakan penampilannya di Liga Juara-Juara dengan sempurna apabila membenam Gladbach 4-0, dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad, awal pagi Khamis.


Sergio Aguero menjadi wira dalam perlawanan ini apabila mencipta hatrik dalam perlawanan yang ditunda sehari akibat hujan lebat di Manchester.

Dengan kemenangan ini, City berada di kedudukan kedua Kumpulan C di bawah Barcelona yang sebelum ini membelasah Celtic 7-0.

Pada babak pertama pasukan tuan rumah sudah unggul dengan dua gol melalui gol yang diledakkan oleh Aguero pada minit kesembilan dan ke-28 (penalti).

City nyaris menggandakan kedudukan selang tiga minit kemudian, tetapi tendangan Ilkay Gundogan di depan gawang mampu diselamatkan penjaga gol Gladbach Yann Sommer.

Masuk babak kedua, Aguero, anak didik Pep Guardiola itu menambah golnya dan menyaksikan penyerang kebangsaan Argentina itu kembali mencatatkan nama di papan skor pada minit ke-77.

Pesta gol City disudahi dengan gol oleh pemain baharu Kelechi Iheanacho yang menutup kemenangan 4-0.

City akan bertandang ke Celtic pada 29 September. Pada waktu yang sama, Gladbach akan berdepan lawan sukar, Barcelona.

Sementara itu Guardiola memuji keupayaan Aguero menjaringkan gol, menyatakan dia sering menggalakkan penyerang itu untuk bekerjasama dengan rakan-rakan pasukannya.

"Sergio baik kerana dia memang pemain yang baik. Dia baik ketika dengan (bekas pengurus City) Manuel (Pellegrini) dan dia baik dalam pasukan kebangsaan," kata Guardiola kepada pemberita.

"Dia hanya mempunyai bakat untuk menjaringkan gol semula jadi, saya tidak boleh mengajarnya.

"Apa yang saya boleh beritahu dia adalah terdapat satu pasukan di belakangnya yang akan membantunya. Saya mahu meyakinkannya untuk membantu mereka dan jika ia berlaku dengan cara itu dia akan menjaringkan banyak gol, sama seperti Kele (Kelechi Iheanacho ) dan semua penyerang kami," kata Guardiola.

 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain