suria

Korea Selatan Sekat Kemaraan Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal ke separuh akhir Kejohanan Badminton Universiti Dunia ke-14 selepas ditewaskan oleh pasukan pilihan Korea Selatan dalam perlawanan suku akhir di Palace of Sports di Borisoglebskiy, Rusia, pada Selasa (awal pagi Rabu Malaysia).

Dengan kemenangan itu, Korea Selatan akan bertemu Jepun pada separuh akhir.

Jepun mengalahkan Jerman 3-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Dalam pertemuan dengan Malaysia, Sol Gyu Choi/Hye Ryeon mengutip mata pertama Korea Selatan selepas pasangan negara Shevon Lai Jemie/Muhammad Amzzar Zainuddin menarik diri dalam set kedua ketika ketinggalan 3-4 kerana seorang daripada pemain Malaysia cedera.

Pasangan Korea Selatan itu menang 23-21 dalam set pembukaan.

Seung Jae Seo memenangi perlawanan kedua untuk Korea Selatan selepas mengatasi pemain Malaysia, Zulfadli Zulkiffli; 21-18, 21-14 untuk perseorangan lelaki sebelum Nur Mohd Azriyn Ayub/Jagdish Singh Dhanoa merapatkan kedudukan 1-2 dengan menundukkan Sol Gyu Choi/Jae Wook Jung; 8-21, 21-19 dan 21-15 dalam beregu lelaki.

Yoo Ri Choi mengesahkan tempat ke separuh akhir Korea Selatan selepas memenangi perlawanan perseorangan wanita menewaskan Yao Rui Chen 21-14, 21-16.

Pemain Malaysia kini mengalihkan tumpuan dalam acara individu yang bermula Jumaat. - BERNAMA

Badminton

Artikel Sebelum

Artikel Lain