suria

Malaysia Lakar Kemenangan Sulung Pada Kejohanan Bola Sepak Asean B-19

Frank Bernhardt
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara bermula dengan langkah kanan pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN B-19 selepas menang bergaya 5-0 ke atas Filipina pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Hang Day, Hanoi, Vietnam, Selasa.

Pada aksi disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen swasta itu, skuad muda negara kendalian Frank Bernhardt, membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi Mohamad Hariz Kamarudin yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Muhammad Shah Amirul Mohd Zamri.

Selang empat minit kemudian, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew menggandakan jaringan untuk skuad negara menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter dan keputusan 2-0 kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua berlangsung, Malaysia menambah tiga lagi gol, masing-masing menerusi sepakan penalti disempurnakan Muhammad Shah Amirul pada minit ke-75 dan gol padang melalui Mohamed Syamer Kutty Abba pada minit ke-79 dan Badrul Amin Rusalan pada minit ke-89.

Malaysia akan menentang Singapura, manakala Filipina berdepan tuan rumah, Vietnam pada aksi seterusnya di venue yang sama, Khamis ini.

Untuk rekod, Filipina sebelum ini kalah 1-2 kepada Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Hang Day.

Artikel Berikut

Artikel Lain