suria

Chong Wei Mahu Belajar Semangat Juang Wira Paralimpik

Datuk Lee Chong Wei
PETALING JAYA: Atlet negara diminta mencontohi semangat juang dan tidak mudah menyerah kalah sepertimana ditampilkan tiga pemenang pingat emas negara di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei ketika membuat gesaan itu, berkata walaupun bukan merupakan atlet normal, semangat yang dipamerkan atlet paralimpik berkenaan melebihi daripada kemampuan mereka.

"Bukan saya sahaja, tetapi semua atlet negara perlu belajar daripada atlet paralimpik...kita perlu semangat seperti mereka yang berjuang untuk mendapatkan pingat emas, pecah rekod dunia dan Paralimpik.

"Mereka luar biasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif daripada 100 Plus kepada lima pemain badminton yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio, di sini Selasa.

Pemain nombor satu dunia itu turut berkata pemenang pingat emas Paralimpik wajar diberi insentif sebanyak RM1 juta, iaitu setaraf dengan pemenang emas Olimpik.

"Mereka memang patut dapat kerana mereka lebih susah berbanding kita. Kami menjalani latihan di tempat yang sama dan saya boleh nampak kesusahan mereka.

"Ada yang berkerusi roda, ada satu tangan sahaja...apa pun semangat juang itu kita kena belajar daripada mereka," katanya.

Pelari pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama negara menerusi acara 100m T36 (cerebral palsy) lelaki dengan catatan rekod kejohanan baharu 12.07 saat, diikuti kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod dunia acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak balingan 16.84m, pada Sabtu.

Sehari selepas itu, Abdul Latif Romly terus mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi emas ketiga negara selepas memecahkan rekod dunia acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran 100 Plus, Leong Wai Yin mengumumkan bekalan minuman isotonik itu secara percuma seumur hidup dan insentif RM150,000 kepada lima pemain badminton negara yang menyumbangkan pingat perak di Olimpik Rio.

Mereka, yang juga merupakan duta minuman isotonik itu ialah Chong Wei yang menerima RM50,000, manakala pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menerima RM25,000 seorang.


100 Plus, anak syarikat F and N Beverages Marketing Sdn Bhd, yang melantik Chong Wei sebagai duta produk itu sejak 2011, baru-baru ini mengumumkan komitmennya  menaja Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain