suria

Hasihin Mara Ke Pusingan Kalah Mati Memanah Paralimpik

Gambar fail Hasihin Sanawi.

KUALA LUMPUR: Pemanah negara, Hasihin Sanawi mara ke pusingan kalah mati acara memanah recurve lelaki selepas menduduki tangga ke-25 daripada 33 peserta di pusingan kelayakan Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Sabtu.

Pemenang pingat perak edisi 2012 di London itu mencatat 567 mata selepas memperoleh 287 di pusingan pertama diikuti 280 mata di pusingan kedua, demikian menurut laman web rasmi Memanah Dunia www.worldarchery.org.

Pusingan kalah mati akan bermula di Sambadrome Selasa ini. 

Terdahulu, dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki (S5), perenang Jamery Singa gagal mara ke pusingan akhir selepas hanya menduduki tempat kelima peringkat saringannya dengan catatan 42.87 saat.

Keputusan itu menyaksikan perenang dari Sarawak itu hanya menduduki tempat ke-11 keseluruhan di mana hanya lapan peserta terbaik layak ke pusingan akhir.

Jamery, wakil tunggal negara dalam acara renang, akan turut beraksi dalam acara 50m dan 100m gaya bebas selepas ini.

Bagi acara ping-pong Kumpulan C (T10), Azwar Abu Bakar gagal menyaingi pemain nombor enam dunia dari China, Gey Yang apabila tewas 9-11, 7-11, 5-11 dalam perlawanan pertamanya. - Bernama

Hasihin Sanawi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain