suria

Ong Kim Swee Tidak Kisah Digugurkan

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee enggan ambil pusing mengenai dakwaan beliau tidak akan kekal mengemudi skuad kebangsaan pada tahun depan.

Sebaliknya, Kim Swee berkata, beliau kini mahu memberi tumpuan kepada persediaan skuad kebangsaan dalam menghadapi Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula dari 19 November hingga 17 Disember ini.

"Saya ada tugas. Saya tidak perlu fikir siapa presiden... jika presiden mahu saya kekal, saya akan kekal. Jika mereka tak mahu saya, saya akan pergi. Ia mudah.

"Bagi saya apa yang penting adalah fokus pada Piala Suzuki. Itu lebih penting berbanding isu lain," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada sidang media perlawanan amal Hari Malaysia 2016 antara Harimau Malaysia dan Dugong All-Stars di Wisma FAM di sini, Khamis.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau mengetahui jawatan Kim Swee dan Ketua Jurulatih bawah 22 tahun, Frank Bernhardt tidak akan dikekalkan pada tahun depan.

Malah Tunku Ismail mendakwa beliau mengetahu siapa yang akan menggantikan Kim Swee begitu juga calon presiden baharu FAM.

Bagaimanapun kenyataan ringkas itu sudah dipadamkan dari laman Facebook JDT.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kedudukan Kim Swee dan Bernhardt hanya akan ditentukan barisan kepimpinan baharu FAM yang akan datang.

"Saya tak pasti. Itu mungkin pandangan Tunku Mahkota sendiri. Saya tak pasti apa maksud beliau (Tunku Ismail). Seperti saya katakan pemilihan akan diadakan secepat mungkin pada tahun depan.

"Itu (kedudukan) setakat ini terpulang kepada barisan yang baharu akan datang untuk tentukan," katanya.

Pada 15 Ogos lalu, FAM memutuskan untuk mempercepatkan Kongres Pemilihan yang sepatutnya dijadualkan pada 2018 kepada tahun depan selepas menolak hasrat Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu meletakkan jawatan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, badan induk bola sepak negara itu bersetuju mempercepatkan Kongres Pemilihan itu bagi menghormati keputusan Tengku Abdullah yang mahu meletakkan jawatan.

Ong Kim Swee, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain