suria

Jadual Padat Ujian Buat Tan Cheng Hoe

KEKUATAN mental Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe teruji apabila menghadapi kepadatan jadual Liga Super dan Piala Malaysia.

Lebih rumit buat bekas penolong jurulatih kebangsaan itu, Kedah kini perlu mengekalkan kedudukan ketiga dalam Liga Super dan penting juga melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Berikutan itu, selepas menentang Sarawak dalam Piala Malaysia Sabtu lalu, Cheng Hoe perlu memikirkan kesebelasan terbaik untuk menentang Kelantan bagi saingan Liga Super pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa melakukan rombakan dalam kesebelasan utama bagi mengurangkan keletihan pemain menghadapi kedua-dua saingan tersebut.

"Kita akan buat perubahan dalam kesebelasan utama dengan melakukan penggiliran pemain.

"Seperti sebelum ini, Kedah telah gunakan hampir semua pemain simpanan untuk mengimbangi kesebelasan utama.

"Kita juga ambil serius mengenai perkembangan semasa Kelantan yang semakin baik dan mereka juga pasti mahukan kemenangan di Kota Bharu," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, beliau berharap pemain dapat mengekalkan momentum kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Jelasnya, walaupun menyedari Kelantan bukan lawan mudah untuk dikalahkan khususnya di laman sendiri, namun beliau mahukan tiga mata menjadi milik Kedah.

"Kita harap dengan penggiliran ini, pemain tidak begitu letih untuk mengekalkan momentum kemenangan di Kota Bharu.

"Mereka perlu berusaha sepanjang permainan supaya kemenangan akhirnya menjadi milik kita," ujarnya.

Cheng Hoe memberitahu, selepas berdepan Kelantan, pasukannya akan kembali menghadapi perlawanan penting iaitu suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, pemain juga perlu menjaga diri daripada mengalami kecederaan kerana saingan Piala Malaysia juga penting buat Kedah.

Kedah, Kelantan, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Lain