suria

Kekalahan Pulau Pinang Pengajaran Buat Pemain - Bacina

Nenad Bacina.

GEORGE TOWN: Pulau Pinang gagal mengutip tiga mata penuh ketika bertemu Kelantan di gelanggang sendiri malam Selasa, menyebabkan pasukan Harimau Kumbang itu kembali berada di kedudukan 'tidak selamat' dalam persaingan Liga Super.

Kekalahan 2-3 kepada Kelantan itu menyebabkan Pulau Pinang kekal dengan 18 mata dan berada di tangga kesembilan, iaitu tiga tangga tercorot liga dan perlu menang kesemua empat baki perlawanan sekiranya tidak mahu jatuh ke zon penyingkiran.

Kecewa dengan keputusan perlawanan malam tadi, jurulatih Pulau Pinang Nenad Bacina mengakui pemain Harimau Kumbang terutama di bahagian pertahanan 'lena' sehingga Kelantan berjaya menjaringkan tiga gol.

Bacina berkata ia merupakan pengajaran bagi pemainnya agar bermain dengan lebih baik pada masa akan datang dan tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan.

"Ini adalah satu pengajaran buat semua dan kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama di masa akan datang sekiranya tidak mahu tersingkir daripada liga," katanya.

Pasukan The Red Warriors mendahului dengan dua gol, jaringan Wan Zack Haikal pada minit ketujuh dan Wander Luiz Junior (minit ke-18) sebelum ketua pasukan Pulau Pinang Mathias Cordoba menjaringkan gol pada minit ke-20 dan Ranti Martins memperoleh gol penyamaan pada minit ke-45.

Bagaimanapun, Wan Zack meletakkan pasukannya di hadapan selepas menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit ke-77.

Ini merupakan kekalahan pertama Bacina sebagai ketua jurulatih Pulau Pinang sejak menggantikan Jaksen Tiago Mei lalu.

Bacina juga pada masa sama meluahkan kekesalannya dengan mutu pengadilan  yang dikatakan agak mengecewakan.

"Mutu pengadilan seharusnya tidak timbul tetapi saya kecewa malam ini. Saya harap, pada masa akan datang perkara seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

Pasukan Harimau Kumbang akan berdepan Perak pada 24 Ogos ini di Stadium Perak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain