suria

Spasojevic Terpilih Pemain Terbaik PFAM Bulan Julai

PETALING JAYA: Kapten Pasukan Melaka United, Ilija Spasojević dipilih sebagai penerima anugerah pemain terbaik liga permier bulanan anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk bulan Julai 2016.

Pengurus pasukan Melaka United (MU), Datuk Wira Mohd Yusoff  Mahadi yang menyampaikan anugerah tersebut di Stadium Hang Jebat pada Selasa malam berkata, 
berkata,  kejayaan pemain yang dikenali sebagai Spasogoal ketika penyertaannya bersama kelab lamanya, Persib Bandung di Liga Indonesia berkenaan juga pemangkin usaha pasukan untuk muncul sebagai juara Liga Premier musim ini.

Katanya, penganugerahan berkenaan juga diharap menjadi pentas keyakinan lebih tinggi kepada pemain itu untuk memastikan misi MU layak ke Liga Super 2017 mampu menjadi kenyataan. 

Tambah Mohd Yusoff, anugerah ini  juga sebagai suntikan motivasi kepada kesemua pemain MU untuk terus menyerlah dan memberikan persembahan lebih berkualiti sepanjang pembabitan mereka bersama pasukan. 

Baginya, MU bertuah berikutan membuat pilihan tepat menyenaraikan pemain berusia 29 tahun itu membarisi skuad MU musim ini, berikutan Spasogoal sudah membuktikan kelibatnya dalam saingan liga Malaysia ini amat berbaloi buat pasukan. 

Malah Spasogoal juga diharap terus membentuk gabungan mantap bersama rakan sepasukan untuk meletakkan MU setanding skuad elit  di Malaysia dalam masa sama membimbing pemain muda berbakat untuk diketengahkan keperingkat yang lebih tinggi pada masa depan.

Sesi pemilihan dibuat melalui panel pemilih PFAM - Asiana.my yang terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan dan undian akan dibuka kepada seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Spasogoal menerima undian tertinggi sebanyak 50 peratus sekaligus mengalahkan empat calon lain iaitu Mohd Zaquan Adha (Johor DT II - 35peratus), Rafael Bonfim  (Johor DT II - 8 peratus), Yashir Pinto (Melaka United - 5 peratus) dan Gabriel Miguel Guerra (PKNS FC- 2 peratus).

Pemain tersebut menerima hadiah trofi sumbangan Komuniti Ekonomi dan Sosial Rukun Tetangga Integrasi Nasional (KENAL), wang tunai RM500.

Para pengundi boleh membuat undian melalui desktop, laptop, telefon pintar, atau tablet dan boleh menggunakan semua jenis pelayar (browser) melalui laman web rasmi PFAM iaitu www.pfam.my.

Undian ini akan dibuka selama sepuluh hari untuk peminat-peminat bola sepak mengundi calon kegemaran mereka.

Ilija Spasojević, Melaka United

Artikel Sebelum

Artikel Lain