suria

Kedah Sasar Gol Awal

PEMAIN Kedah perlu mendapatkan gol pada awal permainan ketika turun melayan kunjungan Sarawak dalam aksi Liga Super Di Stadium Darul Aman pada Selasa malam.

Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe berkata, jaringan pada awal permainan penting dalam usaha  memburu tiga mata.

Jelasnya, Kedah tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mencabar kedudukan ketiga liga yang dihuni Selangor kerana hanya dibezakan dengan satu mata.

"Selain kita tidak membiarkan pasukan kedudukan kelima merapatkan jurang jumlah mata, kita juga perlu bersaing untuk kedudukan ketiga.

"Kita tidak boleh kehilangan tiga mata dalam perlawanan ini. Berikutan itu pemain perlu berusaha sepanjang permainan untuk memastikan kita memperolehi kemenangan.

"Berikutan itu juga, kita perlu mendapatkan gol pada awal permainan bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih tertekan," jelasnnya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, pemain diharap dapat melupakan kekalahan lalu dan memberi sepenuh perhatian dalam perlawanan menentang Sarawak.

"Apa yang penting kita belajar daripada kesilapan lalu dan tidak mengulanginya dalam perlawanan ini.

"Pemain Kedah mempunyai kelebihan apabila beraksi di laman sendiri dan saya harap sokongan moral yang diberikan penyokong akan membantu mereka mencipta kemenangan, katanya.

Beliau berkata, kemampuan pasukan lawan juga tidak boleh dipandang rendah kerana mereka memiliki kemampuan untuk melakukan kejutan.

Menurutnya, Sarawak juga kini sedang menunjukkan kebangkitan dan pasti akan cuba menewaskan Kedah di Alor Setar.

"Sebab itu saya meminta supaya pemain memberi perhatian dan sentiasa berusaha mendapatkan jaringan.

"Dengan kesungguhan dan usaha ini kita akan dapat mencipta kemenangan ke atas Sarawak nanti," ujarnya.

Kedah, Sarawak

Artikel Lain