suria

Drama Terjatuh Sebelum Mo Farah Raih Emas Ketiga Olimpik

PELARI jarak jauh Britain, Mo Farah berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Olimpik dalam acara 10,000 meter yang dimenanginya di London empat tahun lalu.

Kejayaan berturut-turut itu menjadikannya sebagai atlet British pertama yang memenangi tiga pingat emas dalam acara trek.

Sebelum dinobatkan sebagai juara, Farah berdepan dengan detik malang apabila terjatuh dalam kelompok pelari-pelari lain, tetapi dia terus bangkit dan bersaing untuk berada di barisan paling hadapan.

Farah memecut ke garisan penamat.


Farah,33, yang berada di kedudukan kedua pada lap terakhir berjaya memintas pesaing utamanya dari Kenya Paul Tanui sekaligus berjaya mempertahankan emas empat tahun lalu.

Bapa kepada empat orang anak itu begitu beremosi ketika melepasi garisan penamat.

"Apabila kamu terjatuh pastinya akan ada emosi. Saya hanya bangun dan kembali bersaing dan percaya dengan diri sendiri. Terus berusaha dan apabila melepasi garisan penamat saya sangat terharu kerana kamu tahu apa yang akan berlaku.

"Kamu tidak akan dapat bayangkan bagaimana saya bekerja keras untuk kejayaan ini. Dan dalam masa sekejap ia boleh hilang".

Farah turut menitiskan air mata ketika menceritakan saat sukar berjauhan dengan keluarga selama enam bulan bagi menjalani latihan bagi Sukan Olimpik di Brazil ini.

"Saya sangat bekerja keras dan menghabiskan banyak masa berjauhan dengan keluarga dan segalanya.

"Jika saat ini hilang, ia adalah di luar kawalan kamu. Tetapi saya hanya percayakan diri sendiri dan terus berusaha," jelasnya.

Selepas ini Farah bakal menerusi saingan pingat emas dalam acara 5,000m.

Sebagai rekod, pada saingan Sukan Olimpik 2012, Farah meraih dua pingat emas dalam acara 10,000m dan 5,000m.
Mo Farah, 10, 000m, emas

Artikel Lain