suria

Presiden PBSNT Letak Jawatan

Wan Ahmad Nizam (kiri) mengumumkan perletakan jawatannya dalam jawatan itu selepas mesyuarat PBSNT di sebuah hotel pada Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA NERUS: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid membuat keputusan meletak jawatan berkuat kuasa pada Khamis berikutan kemerosotan prestasi skuad Terengganu.

Pengumuman itu dibuat Wan Ahmad Nizam selepas selesai mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dan pengurusan tertinggi PBSNT, di sini Khamis.

Bagaimanapun, peletakan jawatan itu hanya melibatkan jawatan presiden dan tidak membabitkan anggota jawatankuasa lain serta rombakan dalam PBSNT.

Wan Ahmad Nizam berkata mesyuarat tersebut juga bersetuju melantik Ahmad Razif sebagai pemangku presiden PBSNT sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan berkenaan, tahun depan.

"Saya melihat perlawanan-perlawanan terakhir ini, saya tak tahu...saya lihat mungkin kesungguhan pemain sedikit pudar, jadi saya ambil tindakan awal untuk meletak jawatan supaya dipangku menteri besar, setidak-tidaknya boleh meniupkan semangat pemain.

"Saya mengharapkan pemain mengambil iktibar dan menunjukkan kesungguhan serta semangat mereka supaya kita dapat layak ke suku akhir Piala Malaysia," katanya kepada pemberita.

Selain Ahmad Razif, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Rozi Mamat.

Sementara itu, Ahmad Razif menyifatkan Wan Ahmad Nizam sebagai pemimpin yang berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan pasukan bola sepak negeri sebagai satu keutamaan.

"Saya berterima kasih kepada Datuk Wan Ahmad Nizam yang berjiwa besar, dan dalam soal ini (kemerosotan prestasi), kita tak boleh menyalahkan sesiapa, bukan Terengganu sahaja yang mengalami masalah ini.

"Kita masih ada lima perlawanan lagi yang mana dua perlawanan di tempat sendiri dan tiga perlawanan di tempat lawan...jadi kita mengharapkan perubahan dan keajaiban akan berlaku dalam lima perlawanan ini," katanya.

Ahmad Razif berkata pihaknya juga akan mencari formula dan jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan prestasi skuad Terengganu dapat dipulihkan.

"Saya bersetuju untuk memangku sementara jawatan ini dan memberi tumpuan membantu daripada semua aspek bagi memastikan dalam lima perlawanan lagi kita akan cipta kejayaan.

"Kita harap semua peminat bola sepak kita akan terus memberi sokongan kepada pasukan Terengganu," katanya yang turut mengadakan perjumpaan dengan pemain bola sepak Terengganu selepas mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Razif memberi jaminan dua pasukan Terengganu - Terengganu FA dan T-Team akan terus dikekalkan, musim depan.

"Saya juga beri jaminan, walau apa pun berlaku, kita tetap akan pastikan dua pasukan ini akan dipertahankan dan kita akan pastikan tahun depan dua pasukan ini terus bersaing (dalam Liga Malaysia)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain