suria

Harapan Pingat Pudar Buat Khairul Anuar Di Rio

RIO DE JANEIRO: Harapan pemanah negara Khairul Anuar memungut pingat pada Olimpik Rio berkecai di sini pada Rabu.

Pemanah berumur 24 tahun ini yang juga digelar Robin Hood gagal menyesuaikan panahnya dengan tiupan angin dan terkeluar pada pusingan penyingkiran kedua.

Dalam pusingan pertama, Khairul Anuar mengalahkan pemanah beranking ke-43, Andres Pila daripada Columbia 6-0 selepas mencatat 78-71 mata ke atas pesaingnya itu dalam acara recurve individu.

Namun kelewatannya menyesuaikan diri dengan arah tiupan angin dalam tiga set akhir menjejaskan kedudukannya apabila kalah kepada pemanah Jerman, Florian Floto dengan mata 4-6.

Saya tidak boleh menyalahkan angin atau platform yang tidak stabil  kerana semua pemanah menghadapi situasi yang sama. Saya lambat menyesuaikan peralatan memanah saya. Saya kecewa," katanya selepas perlawanan.

Malah Khairul Anuar berkata beliau kehilangan 'perasaan' semasa latihan minggu lepas di Korea Selatan sebelum datang ke sini.

Beliau berkata perkara seperti itu boleh berlaku kepada pemanah dan ia boleh memakan masa berbulan-bulan untuk menemui rentak semula.

"Saya tidak gembira dengan prestasi saya kerana saya tidak boleh mendapat perasaan itu," kata pemanah beranking 41 dunia ini yaang berjaya ke suku akhir pada Olimpik London empat tahun lalu.

Selain beliau, dua pemanah lain turut gagal melepasi pusingan pertama apabila Hafiq Kamaruddin yang beranking 50 kalah 0-6 kepada pemanah Amerika Syarikat, Zach Garrett sementara Muhammad Akmal Nor Hasrin kalah dengan mata yang sama kepada peserta Sepanyol, Liebana Rodriguez.

Pasukan negara berkedudukan tempat ke-12 iaitu paling tercorot dalam peringkat kelayakan dan kalah 6-2 kepada Perancis dalam pusingan penyingkiran.

Pasukan memanah negara akan berlepas pulang pada Sabtu.

Artikel Berikut

Jese Rodriguez Sertai PSG

Artikel Lain