suria

Kejutan Williams Tersingkir Awal Aksi Sukan Olimpik

SUKAN Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil merakam keputusan pahit buat Serena Williams apabila tersingkir pada pusingan ketiga acara tenis perseorangan, Selasa.

Aksi yang serba tidak menjadi oleh Williams menyebabkan pemain No.1 dunia itu tewas kepada Elina Svitolina dari Ukraine dengan keputusan 6-4, 6-3 sekaligus impiannya untuk menjadi pemain tenis pertama perseorangan merangkul pingat emas kali kedua berturut-turut musnah.

Bintang tenis dari Amerika Syarikat yang turut tersingkir dalam acara beregu bersama kakaknya Venus awal minggu ini dilihat berdepan dengan masalah sejak awal perlawanan apabila beberapa pukulan servisnya gagal melepasi jaring.

Dalam pada itu, kemenangan tersebut menjadi rekod terbaik Svitolina yang kini berada di ranking ke-20 dunia apabila pertama kali menjejaki kaki ke Olimpik dan hanya sekali beraksi dalam kejohanan utama.

Sebagai rekod, Williams melakar kejayaan berganda pada Sukan Olimpik di London 2012 apabila meraih emas dalam acara perseorangan dan beregu.

Kekalahan ini juga menyaksikan Williams mengikuti jejak langkah pemain lelaki No.1 dunia, Novak Djokovic yang turut terkeluar dalam aksi berprestij dunia ini.

Serena Williams, Tenis, Sukan olimpik

Artikel Lain