suria

FAM Tolak Rayuan Wan Zaharulnizam, Zulhamizan

Wan Zaharulnizam
KUALA LUMPUR: Nasib malang melanda pemain sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria kerana bukan sahaja rayuan terhadap hukuman gantungnya ditolak, malah ditambah daripada lima kepada enam perlawanan.

Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuaratnya semalam memutuskan penggantungan terhadap pemain itu ditingkatkan manakala denda RM2,000 yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, dikekalkan.

Menurut kenyataan media FAM, pemain yang dikenali dengan panggilan 'Kechik' itu dikenakan penggantungan ekoran berkelakuan ganas terhadap pemain Selangor semasa perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, 21 Mei lepas.

Berikutan itu, beliau dikenakan penggantungan lima perlawanan membabitkan aksi Liga Super menentang Terengganu iaitu penggantungan automatik pada 15 Julai diikuti pertemuan menentang Pahang (23 Julai), Johor Darul Ta'zim (26 Julai), Felda United (3 Ogos) dan T-Team (6 Ogos).

Tambahan penggantungan perlawanan terbaharu adalah membabitkan pertemuan Kelantan menentang Pulau Pinang pada 16 Ogos ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Sementara itu, rayuan Ketua Jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria terhadap penggantungan dan denda yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM turut ditolak.

Justeru, hukuman penggantungan tujuh bulan daripada terlibat dengan sebarang perlawanan bola sepak dan hukuman denda berjumlah RM3,000, dikekalkan.

Zulhamizan digantung tujuh bulan ekoran tindakannya berkelakuan ganas terhadap pegawai perlawanan dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil perlawanan.

Beliau bertindak demikian ketika perlawanan Liga Perdana antara UiTM FC menentang Kuantan FA di Stadium Shah Alam pada 26 Feb lepas.

Zulhamizan juga bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan semasa saingan Piala FA antara Perak dan Kuantan FA di Stadium Perak pada 5 Mac lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain