suria

Schweinsteiger Bersara, Masa Depan Di Old Trafford Samar

BASTIAN Schweinsteiger mengumumkan persaraan di arena antarabangsa selepas aksi kurang menyerlah pada Euro 2016 baru-baru ini.

Schweinsteiger telah meminta jurulatih Joachim Low untuk tidak memikirkannya dalam pemilihan skuad kebangsaan.

Pemain berusia 31 tahun itu turut dikritik ketika aksi di Perancis, lebih-lebih lagi ketika bertemu tuan rumah pada aksi separuh akhir sekaligus menguatkan lagi keputusannya untuk bersara di peringkat antarabangsa.

"Saya telah meminta ketua jurulatih agar tidak memikirkan saya lagi bagi pemilihan untuk skuad negara pada masa akan datang, yang bermakna saya ingin bersara.

"Terima kasih kepada peminat-peminat, pasukan, Jerman FA dan semua jurulatih negara. 



"Dengan 120 perlawanan antarabangsa, saya melalui saat yang indah dan kejayaan yang sukar dijelaskan untuk negara saya.

"Joachim Low tahu betapa bermaknanya Euro 2016 kepada saya kerana inginkan gelaran juara selepas Jerman tidak memenanginya sejak tahun 1996.

"Ia tidak berlaku dan saya terpaksa menerimanya.

"Menjuarai Piala Dunia 2014 merupakan sejarah dan pencapaian yang amat beremosi dan ianya tidak akan berlaku lagi dalam karier saya. 

"Inilah masa yang sesuai dan wajar untuk menjauhi daripada pasukan dan saya mengucapkan selamat maju jaya pada pusingan kelayakan dan Piala Dunia 2018," jelas Schweinsteiger di laman Facebook miliknya.




Sebagai rekod, Schweinsteiger telah merakam 24 gol dalam 120 perlawanan untuk Jerman dan memikul tugas kapten selepas Philipp Lahm bersara pada tahun 2014.

Dia juga turut mencatat rekod pemain Jerman yang paling banyak beraksi pada Euro.

Dalam pada itu, masa depan Schweinsteiger bersama kelab Manchester United juga masih samar apabila pengurus Jose Mourinho memberitahu khidmatnya di Old Trafford tidak lagi diperlukan, serta tidak ada  tawaran baharu untuk pemain tengah ini.

Schweinsteiger menyertai United musim lalu di bawah pengurusan Louis van Gaal dan hanya beraksi 18 permainan dalam Liga Perdana Inggeris pada musim pertama.

Artikel Lain