suria

Piala Malaysia: Felda United Menang Tipis Ke Atas Melaka United

KUALA LUMPUR: Felda United kekal di kedudukan teratas Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia selepas menang tipis 1-0 ke atas Melaka United, Jumaat malam.

Pada perlawanan sengit di Stadium Hang Jebat, Melaka, Felda United dilihat lebih banyak menguasai permainan dan melancarkan serangan bertali arus sehingga memaksa Melaka United bertahan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.

Pasukan The Fighters melalui kapten pasukannya, Shukor Adan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-87.

Melaka United berada di kedudukan tercorot selepas tiga perlawanan malam ini dengan berkongsi tiga mata dengan pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan.

Naib juara, Kedah masih kekal di tangga teratas carta Kumpulan A dengan pungutan tujuh mata terkumpul selepas seri tanpa sebarang jaringan dengan Johor Darul Ta'azim II di Stadium Darul Aman, Kedah.

Manakala, skuad Bujang Senang tidak menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri apabila tewas kepada pasukan T-Team 0-2 di Stadium Negeri, Kuching.

Selepas terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, skuad bimbingan Rahmad Darmawan melalui pemain import dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz akhirnya menjaringkan kedua-dua gol bermakna itu pada minit ke-69 dan masa tambahan. 

T-team yang pada awalnya berada pada kedudukan terakhir Kumpulan A, naik ke tangga kedua dengan pungutan empat mata selepas tiga berlawanan, diikuti JDT II (tiga mata) dan Sarawak (satu mata). -Bernama

Felda United, felda United

Artikel Sebelum

Artikel Lain