suria

Kedah Tekad Pertahan Rekod Tanpa Kalah

Tan Cheng Hoe.

KEDAH tekad untuk mempertahankan rekod tanpa kalahnya dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia musim ini apabila turun melawan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan di Alor Setar penting bagi memastikan skuad itu layak lebih awal ke peringkat suku akhir.

Menurutnya, kekalahan kepada Pulau Pinang Selasa lalu dalam saingan Liga Super perlu dilupakan kerana mereka perlu menumpukan perhatian dalam misi tiga mata berkenaan.

“Selain dari terus mengekalkan rekod cemerlang setelah berjaya perolehi enam mata dari dua perlawanan lalu pada Piala Malaysia, barisan pemain juga perlu memastikan kemenangan demi mencerahkan harapan kita untuk melayakkan diri ke perlawanan suku akhir seawal mungkin.

“Saya lega kerana tonggak tengah, Liridon Krasniqi yang menerima kad merah setelah dilayangkan dua kuning dilayangkan pada perlawanan liga lalu mampu beraksi pada perlawanan ini.

"Selain itu Kedah juga dapat menggunakan kembali khidmat dua import, Shane Smeltz dan Thiago Augusto Fernandez pada perlawanan malam ini.

“Smeltz dan Augusto akan digandingkan buat pertama kali sejak mereka bergelar pemain Kedah dan kita harap mereka dapat memberi mata berharga.

“Sudah pasti mereka juga memerlukan bantuan rakan sepasukan lain untuk menghasilkan kemenangan sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah Kedah dalam Kumpulan A," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, pada perlawanan itu, pasukan hijau kuning terpaksa melupakan khidmat Amirul Hisyam Awang Kecik kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

“Selain Amirul, saya mampu membariskan kesebelasan terbaik pada perlawanan malam ini demi mencapai kemenangan yang dapat mengukuhkan kedudukan kita.

“Pemain perlu berwaspada dengan hasrat lawan untuk mengaibkan kita di gelanggang sendiri dan memastikan tidak ada kesilapan yang dilakukan khususnya di bahagian pertahanan yang bakal membawa padah.

“Saya akui barisan pemain utama masih keletihan setelah beraksi selang tiga hari. Tapi perlu diingat bukan kita sahaja yang terpaksa berbuat demikian malah lawan juga melalui kesibukan yang sama," jelas beliau.

Tan Cheng Hoe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain