suria

Polis Pantau Akaun Facebook Sebar Kebencian Peminat Bola Sepak

Mior Faridalatrash Wahid

GEORGE TOWN: Polis akan memantau beberapa laman sosial termasuk akaun Facebook yang menyebarkan kebencian sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong bola sepak negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Mior Faridalatrash Wahid berkata tindakan itu dibuat berikutan insiden bas penyokong Kedah dilempar batu di Jalan Datuk Keramat, di sini, yang dikatakan dirancang dan disebar lebih awal di lamanFacebook.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ketenteraman awam dan akan memastikan budaya ganas atau samseng bola sepak tidak berlaku di negeri ini. 

"Sekarang ini kami pantau semua termasuk beberapa akaun Facebook yang dikenal pasti menyebarkan kebencian dalam kalangan penyokong bola sepak dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Selasa lepas, bas yang membawa penyokong Kedah dilempar batu oleh sekumpulan lelaki bermotosikal dipercayai penyokong Pulau Pinang selepas perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu yang menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Kedah 3-2. 

Berikutan itu, polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat, dan kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 40 tahun itu direman empat hari mulai Khamis bagi membantu siasatan.-Bernama

Polis Pulau Pinang, Facebook

Artikel Sebelum

Artikel Lain