suria

FAM Teliti Dakwaan TMJ - Afandi

Afandi Hamzah

KOTA BAHARU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang meneliti secara terperinci dakwaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung penyelewengan dalam persatuan itu.  

Timbalan Presidennya Datuk Seri Afandi Hamzah berkata FAM juga akan mengadakan beberapa perbincangan lanjut berhubung perkara tersebut.

"Buat masa ini perkara ini sedang dilihat secara terperinci dalam semua aspek dan mungkin beberapa siri perbincangan akan berlaku... kita tunggulah saat itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kitar Semula (3R), Pengasingan Sisa di Punca dan Pengurusan Sisa Industri di Medan Usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pengkalan Chepa di sini, yang turut dihadiri Pengarah MARA Kelantan Ismail Abdullah, Khamis. 

Pada 18 Julai lepas, Tunku Ismail melalui laman Facebook Johor SouthernTigers mendedahkan beliau memiliki satu pemacu pena yang menyimpan aktiviti dalaman FAM, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau mendakwa pemacu pena itu menyimpan aktiviti rasuah di FAM yang didakwanya berlarutan sehingga 30 tahun.   

Katanya pemacu pena itu diperoleh menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur. 

Dalam pada itu, Afandi berkata laporan lengkap berhubung pertemuan antara Bendahari FAM Datuk Seri Norza Zakaria dan Tunku Ismail pada Rabu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Saya tak boleh komen kerana saya pun hanya baca dalam akhbar perjumpaan antara Norza dan Tunku Ismail. 

"Tapi sudah pasti dalam masa terdekat kita akan dapat baca laporan mengenai perjumpaan tersebut," katanya. -Bernama

Afandi Hamzah, FAM, TMJ

Artikel Lain