suria

Cuba Kutip Mata Penuh Di Laman Sendiri - Zainal Abidin

PETALING JAYA: Saingan Liga Super dilihat semakin rancak dengan penampilan beberapa muka baharu yang diharapkan mampu melonjak pasukan ke kedudukan yang lebih baik.

Antaranya pasukan Selangor yang tidak ketinggalan menunjukkan aksi lebih mencabar sebaik sahaja kembali daripada sesi rehat musim pertama sejak minggu lalu.

Biarpun diselang seli dengan aksi Piala Malaysia, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu cuba memberi aksi konsisten yang menyaksikan setakat ini dalam enam perlawanan terakhir mereka berjaya mencatat tiga seri dan tiga menang.

Dalam kedudukan Liga Super, skuad Red Giants itu berada di tempat ketiga teratas di belakang Johor Darul Tak'zim (JDT) yang meraih 36 mata manakala Felda United pula mengumpul 34 mata.



Biarpun jurang sepuluh mata dengan pendahulu liga, Zainal Abidin menganggap dalam bola sepak semuanya boleh berlaku.

Menjelang perlawanan bertemu Felda United Selasa malam, Zainal Abidin mengharapkan pemain-pemainnya akan menggunakan peluang sebaiknya di laman sendiri.

"Walaupun kita hilang satu mata pada aksi sebelum ini (seri 1-1) di Pulau Pinang dan dengan sedikit perbezaan bersama dua pasukan teratas, kami akan terus mencuba untuk buat yang terbaik memburu mata penuh.

"Pemain-pemain perlu mengambil peluang bermain di tempat sendiri cuba mengutip mata penuh.

"Walaupun ada beberapa pemain utama yang tidak dapat beraksi termasuk R. Gopinathan yang mengalami kecederaan ketika menentang Pulau Pinang sebelum ini.

"Mengenai pemain import baharu,  Ugochukwu Ukah (Nigeria), dia setakat ini 'okay' dan bakal beraksi untuk perlawanan kedua malam nanti," jelasnya kepada mStar Online.





Sementara itu, Zainal Abidin turut mengakui pertemuan menentang Felda United bukanlah sesuatu yang mudah.

"Saya tidak nafikan prestasi Felda United semakin baik. Tetapi itu bukan alasan bagi pemain-pemain saya untuk tidak menunjukkan cabaran di tempat sendiri.

"Malah inilah peluang terbaik untuk menebus kembali kekalahan 3-1 sebelum ini," tambahnya.

Zainal Abidin Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain