suria

Kafa Lunas Tunggakan Gaji Lima Bekas Pemain

Annuar Musa.

KOTA BARU: Penantian lima bekas pemain Kelantan ke atas tunggakan gaji mereka, bakal berakhir Isnin ini.

Ini berikutan kesediaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melunaskan tunggakan berjumlah RM355,000 kepada Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan,  Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata pembayaran kepada lima bekas pemain Kelantan itu akan dibuat melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan cek rasmi pembayaran akan diserahkan kepada badan induk itu Isnin ini.

"KAFA berjaya melunaskan hutang itu mengikut tarikh akhir yang ditetapkan FAM iaitu sebelum 31 Julai ini," katanya ada sidang akhbar di sini.

Episod malang pemain itu bermula selepas menamatkan kontrak mereka dengan KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini, sehingga terpaksa membuat aduan kepada Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

Pada 3 Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam mencadangkan kepada FAM agar melakukan pemotongan mata kepada KAFA sekiranya persatuan itu gagal menjelaskan tunggakan gaji kepada bekas pemainnya sebelum 31 Mei ini.

Tempoh itu kemudian dilanjutkan oleh FAM sehingga 31 Julai ini.

Kevin juga dilaporkan sebagai berkata sekiranya KAFA masih gagal menjelaskan hutang berkenaan, FMLLP turut mencadangkan kepada FAM agar pasukan Kelantan diturunkan ke Liga Perdana atau disingkirkan daripada Liga Malaysia.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini. - BERNAMA

tunggakan gaji, Kafa, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain