suria

Miliki Maklumat Rasuah: TMJ Disaran Buat Laporan

Khoo Kay Kim.

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim disaran membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung maklumat skandal rasuah melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dimilikinya.

Pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata laporan tersebut perlu dibuat segera bagi membolehkan pihak berwajib memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

"Jika benar beliau ada bukti, laporan segera perlu dibuat kepada pihak berkaitan sama ada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dakwaan itu adalah satu jenayah serius.

"Gejala rasuah di dalam FAM perlu dibanteras segera jika ia benar-benar berlaku kerana ia boleh mencemarkan integriti badan induk bola sepak negara itu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Kay Kim, Tunku Ismail perlu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa kerana beliau sudah menguar-uarkan dakwaan itu mengenai ketirisan dalam FAM kepada umum.

"Beliau perlu beri kerjasama dengan menyerahkan segala maklumat dan bukti yang ada padanya. Jika sekadar cakap-cakap sahaja tapi tak nak beri kerjasama, itu dah dikira satu kesalahan," katanya.

Tunku Ismail menunjukkan pendrive yang mengandungi segala maklumat berkaitan salah laku FAM.

Pada Isnin, Tunku Ismail mendakwa mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku FAM yang berlarutan selama 30 tahun.

Beliau yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mendakwa maklumat itu diperoleh daripada rakan-rakan yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

“Ini adalah pendrive diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM.

"Ia berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Tunku Ismail berkata, beliau akan bertemu sendiri dengan pemilik JDT itu untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Ketika ditanya, apakah tindakan FAM seandainya Tunku Ismail memanjangkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau membalas: “Tidak mengapa. Saya akan cuba menghubungi TMJ.

Pada masa sama, Hamidin berkata setiap individu berhak membuat laporan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan dalam persatuan itu kepada SPRM.

Artikel Sebelum

Artikel Lain