suria

FAM Masih Tagih Khidmat Empat Pemain JDT

Aidil Zafuan Abdul Razak
KUALA LUMPUR: Bagai bertepuk sebelah tangan, itulah pepatah paling tepat menggambarkan situasi semasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang masih mahu menagih khidmat empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), yang mengumumkan persaraan mereka daripada skuad kebangsaan, baru-baru ini.

Pada pandangan penulis, biarlah, barang yang lepas usah lagi dikenang, bukannya keempat-empat pemain tersebut tidak pernah menabur bakti kepada negara cuma masanya telah tiba buat mereka menamatkan segala sumbangan kepada pasukan.

Apa yang pasti, FAM harus selidik punca persaraan mengejut empat tonggak negara itu kerana pemain tersebut masih berada dalam kemuncak prestasi masing-masing.

Empat pemain JDT - Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim, S.Kunanlan dan Amirulhadi Zainal mengumumkan persaraan mereka selepas pulang daripada Jelajah Oceania menyaksikan pasukan negara mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu tewas.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B.
Sathianathan berpendapat tindakan FAM yang masih membuka pintu buat empat pemain tersebut adalah perkara normal.

"Mana-mana persatuan bola sepak di dunia akan melakukan perkara yang sama, misalnya isu pemain kebangsaan Argentina, Lionel Messi yang mengumumkan persaraan selepas tewas di perlawanan akhir kejohanan Copa America baru-baru ini.

"Persatuan induk bola sepak negara itu masih mempelawa Messi untuk kembali bersama pasukan kebangsaannya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Sathianathan berkata situasi ini sama seperti ketika era bola sepak Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Soh Chin Aun yang skripnya kini berulang kembali.

"Jika mereka berubah fikiran dan ingin kembali menyarung jersi kebangsaan, itu sangat dialu-alukan.

"Mereka memberi alasan persaraan itu bagi memberi ruang dan peluang kepada pemain muda, tapi masalahnya mereka juga masih muda dan berada di kemuncak prestasi," katanya yang sedikit terkilan dengan keputusan persaraan empat pemain berkenaan.

Berkongsi nada yang sama, bekas perancang tengah kebangsaan, Khalid Ali yang berkata khidmat empat pemain tersebut masih diperlukan kerana mereka seharusnya membimbing pemain-pemain muda dalam skuad kebangsaan.

"Sepatutnya mereka tidak bersara dengan begitu cepat. Contohnya, Safiq, dia mempunyai sifat kepimpinan dan berkeupayaan membimbing pemain lain," katanya.

Khalid berpendapat salah satu punca keempat-empat pemain tersebut bersara adalah kerana tempoh kem latihan yang agak lama iaitu antara tiga hingga empat minggu.

"Tempoh kem latihan bagi persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan persahabatan berlarutan lebih tiga minggu dilihat tidak wajar...pada zaman saya dahulu pun tak begitu lama, dalam 10 hari sahaja," katanya yang menabur khidmat lebih sembilan tahun dalam skuad kebangsaan.

Khalid juga bersetuju dengan tindakan FAM, sambil berharap kemungkinan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat memujuk empat pemainnya agar kembali menyertai skuad Harimau Malaysia.

Artikel Sebelum

Keputusan Piala Malaysia 2016

Artikel Berikut

Artikel Lain