suria

Ucapkan Terima Kasih - TMJ

Tunku Ismail menunjukkan pendrive yang mengandungi segala maklumat berkaitan salah laku FAM.

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan orang ramai sepatutnya menghormati keputusan empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bersara daripada skuad kebangsaan dengan berterima kasih di atas segala pengorbanan dan bukannya mengkritik mereka.

"Anda memberi komen tentang pemain yang bersara dan membuat kenyataan seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan. Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka?.

"Satu perkataan sahaja yang anda harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu 'terima kasih'. Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers pada Isnin.

Pada minggu lalu, empat pemain JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan persaraan mereka kerana ingin memberi laluan kepada pemain muda mewakili skuad Harimau Malaysia.

Keputusan mengejut keempat-empat pemain senior itu ternyata mendapat kritikan pelbagai pihak.

Safiq Rahim.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menganggap persaraan empat pemain kebangsaan itu sebagai krisis dalam pasukan Harimau Malaysia sekali gus menuntut badan induk bola sepak berkenaan supaya segera melakukan sesuatu bagi menanganinya.

Malah, beliau didakwa sebagai berkata semua pemain itu bersara tanpa alasan yang kukuh dan keputusan itu perlu dilihat secara serius kerana ia mungkin menjadi satu trend di kalangan pemain lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dipetik sebagai berkata mana-mana pemain Kelantan yang ingin bersara menyarung jersi negara perlu terlebih dahulu meninggalkan pasukan tersebut.

Namun, Tunku Ismail tetap mempertahankan keputusan empat pemain JDT itu. "Usah tunjuk kepada saya dan generasi sekarang yang anda semua sebagai orang lama susah hendak menerima bahawa masa dan dunia ini telah berubah.

"Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa turut memiliki segala maklumat berhubung salah laku dalam FAM dan menegaskan sudah tiba masanya penyokong bola sepak tempatan membuat penilaian.

"Ini adalah 'pendrive' diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM.

"Ia mengenai etirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek.

"Mungkin sudah sampai masanya untuk penyokong bola sepak tanah air melihat dan menilainya sendiri. Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, 'jangan diajak penembak tepat pergi menembak'," katanya.

JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain