suria

Mohd Azrif Sah Milik JDT

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan kanan Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kini sah milik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

Keputusan itu dicapai selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengenai perpindahan bekas pemain Harimau Muda itu.

Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari menjelaskan FAS mencapai persetujuan dengan PBNJ untuk melepaskan pemain berkenaan menyertai JDT setelah bersetuju dengan tawaran yang dibuat pengurusan kelab itu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran persetujuan dan jumlah perpindahan Mohd Azrif ke JDT.

"Pasukan Selangor sedang dalam perbincangan mengikat seorang pemain yang mempunyai kebolehan dan mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan Mohd Azrif.

"Perkembangan lanjut berkaitan kemasukan pemain ini akan diumumkan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup (esok)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan skuad The Red Giants akan diperkuatkan dengan lima pemain skuad Piala Presiden (bawah 21 tahun) yang sudah mula mengikuti latihan bersama skuad utama.

Mereka ialah K. Sarkunan, Mohd Faizzudin Mohd Abidin, A.Namathevan, K.Kannan dan Badrul Amin Rusalan.

"Saya yakin barisan pemain yang ada mampu menggalas cabaran The Red Giants bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang baru bermula.

"Selangor akan terus menghasilkan pemain pelapis yang dipersiapkan untuk  menggalas cabaran di peringkat yang lebih kompetitif," kata Amirudin.

Mohd Azrif sebelum ini meminta FAS melepaskan beliau bagi membolehkannya menyertai JDT, sambil menambah bersedia menebus baki nilai kontraknya bersama FAS berjumlah RM720,000.

Mohd Azrif Nasrulhaq

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain