suria

FAP Umum Dua Pemain Baharu Ganti Griffiths, Ikpefua

Kontrak Griffiths (kanan) bersama FAP ditamatkan selepas pemain itu mahu meneruskan kariernya dalam Liga Australia.

GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menamatkan perkhidmatan dua pemain import Brent Griffiths dan Osas Ikpefua sebelum saingan Liga Super musim 2016 bersambung semula Sabtu depan.

Griffiths, 26, yang menyertai pasukan Harimau Kumbang sejak awal tahun lepas, memohon untuk dilepaskan untuk meneruskan kariernya dalam Liga Australia manakala Ikpefua, 29, baru dibawa masuk oleh bekas jurulatih Jacksen F. Tiago awal tahun ini namun mereka gagal mempamerkan prestasi terbaik.

Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata pihak persatuan telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak Griffiths dari Australia dan Ikpefua dari Brazil dan akan digantikan dengan dua pemain import baharu.

"Kedua-dua pemain import baharu Seok-Min Jeong dari Korea dan Ranti Martins dari Nigeria sudah dikenal pasti dan akan melalui ujian kecergasan.

Pengumuman rasmi mengenai penyertaan mereka akan dibuat esok (Isnin)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Ahad.

Min Jeong, 28, bekas pemain Jeonnam Dragons FC, telah beraksi selama tujuh tahun di K League serta mampu beraksi sebagai pemain pertahanan tengah dan penyerang manakala, Martins, 29, merupakan penjaring gol terbanyak di India sebanyak 321 gol sejak menyertai Liga India pada 2004.

Sebelum ini, FAP telah mengumumkan pelantikan Nenad Bacina sebagai ketua jurulatih menggantikan Azizudin Mohd Shariff selaku pemangku dan Bojan Hodak dilantik sebagai Ketua Pengarah Urusan (CEO) FAP.

Harimau Kumbang yang kini berada di tangga tercorot Liga akan beraksi menentang pasukan Terengganu FC II (T-Team) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu depan. -Bernama

FAP, Pulau Pinang

Artikel Lain