suria

Weigang Sah Ketua Jurulatih PAFA

Karl Heinz Weigang.

IPOH: Bekas jurulatih kebangsaan, Karl Heinz Weigang dilantik menjadi Ketua Jurulatih dan Ketua Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata Weigang yang pernah melatih skuad Perak dari 1997 hingga 2000, telah menandatangani kontrak dengan persatuan itu Rabu lepas.

Beliau berkata pelantikan Weigang, 80, adalah selari dengan Perancangan Tiga Tahun Pembangunan Bola Sepak Negeri Perak yang ditetapkan PAFA.

Katanya Weigang akan menyelia kejurulatihan Piala Presiden, Piala Belia dan menyediakan Program Pembangunan Kejurulatihan untuk PAFA.

"PAFA juga percaya gandingan Weigang dengan jurulatih lain dapat memantapkan kekuatan dan prestasi 'The Bos Gaurus' dalam baki saingan Liga Super 2016, Piala Malaysia, Piala Presiden dan Piala Belia," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Abdul Puhat berkata jurulatih skuad Liga Super Perak ketika ini, Syamsul Mohd Saad pula akan kekal bersama pasukan berkenaan sebagai penolong jurulatih bagi membantu Weigang.

Perak kini menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan Liga Super selepas mengutip 11 mata hasil 12 perlawanan menerusi dua kemenangan dan lima seri.

Beliau berkata PAFA berharap pelantikan Weigang dapat membentuk dan memberi ilmu serta pengalaman dalam sistem kejurulatihan serta taktikal tahap tertinggi kepada semua jurulatih yang bernaung di bawah persatuan itu.

"Weigang memiliki personaliti yang tidak asing dalam kancah bola sepak Malaysia dan Perak selain mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan serta kejurulatihan yang menjadi faktor pemilihannya," katanya.

Abdul Puhat berkata PAFA menyasarkan semua jurulatih termasuk Syamsul dapat memperoleh lesen kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Pro A selain lesen 'A' dan 'B' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)/AFC sebelum 2018.

"Ini penting bagi mematuhi syarat FAM berkaitan penswastaan Liga Super Malaysia," katanya.

Sebagai rekod, Weigang pernah membawa Perak menjuarai Piala Malaysia edisi 2000 ketika bersama skuad negeri itu dari 1997 hinga 2000, selain namanya terpahat dalam sejarah bola sepak negara sebagai jurulatih yang membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain