suria

De Gea Gembira Van Gaal Dipecat

BERITA pemecatan Louis van Gaal bukan sahaja menggembirakan penyokong Manchester United tetapi turut membuat David de Gea untuk terus kekal di kelab berkenaan.

De Gea pada mulanya dilaporkan memberitahu rakan-rakan terdekatnya yang dia berhasrat meninggalkan Old Trafford jika Van Gaal terus kekal untuk musim depan.

Malah penjaga gol Sepanyol itu juga tidak sabar untuk memulakan latihan di bawah kendalian Jose Mourinho yang akan dilantik mengisi kekosongan Van Gaal.

Bagaimanapun De Gea, 25, masih bimbang mengenai masa depan rakan senegaranya di United, seperti Juan Mata yang diketahui corak permainannya tidak digemari oleh Mourinho ketika di Chelsea dulu.

Mourinho tidak teragak-agak untuk melepaskan Mata sebaik sahaja United membuat tawaran ke atas pemain itu dua musim yang lalu.

Jurulatih kelahiran Portugal itu juga dikatakan bakal membawa seorang lagi pemain Chelsea iaitu Nemanja Matic ke United.

Van Gaal dipecat sebagai pengurus United dua hari selepas dia membawa pulang Piala FA ke Old Trafford iaitu trofi pertama United selepas persaraan Sir Alex Ferguson.

Namun kejayaannya itu tidak dapat mengatasi kegagalan United untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas kelab itu mengakhiri musim ini di tangga kelima. 

Hanya empat pasukan dari Liga Perdana Inggeris layak untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara iaitu kejohanan bolasepak paling berprestij di dunia selepas Piala Dunia.

Tempat Van Gaal bakal diisi oleh Mourinho yang pengumuman rasmi mengenai pelantikannya bakal dibuat dalam tempoh terdekat.


 





Manchester United

Artikel Lain