suria

Piala Thomas: Pengalaman Pemain Penting - Jurulatih

Khidmat dua beregu berpengalaman, Kien Keat-Boon Heong amat diperlukan bagi menghadapi situasi sukar.

KUNSHAN: Khidmat dua beregu berpengalaman, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tetap diperlukan skuad negara di suku akhir Piala Thomas, walaupun jika terpaksa memisahkan gandingan itu.

Jurulatih beregu negara, Jeremy Gan berkata pada peringkat yang dianggap getir ini, khidmat pemain berpengalaman sangat diperlukan dalam menghadapi situasi yang kian menekan. Ia sekali gus bererti peluang gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk diturunkan amat tipis kecuali dalam keadaan terdesak seperti kecederaan pada pemain beregu utama itu.

"Buat masa ini, saya rasa susah sikit (untuk menurunkan Ee Yi-Yew Sin) kerana kita sudah sampai ke peringkat yang lebih mencabar.

"Di peringkat ini, pengalaman pemain adalah penting, kecuali kalau ada yang tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi latihan skuad negara pada Rabu.

Jeremy berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang untuk beregu ketiga negara itu beraksi selepas tidak diturunkan dalam tiga perlawanan peringkat Kumpulan C sebelum ini.

Sementara itu, mengenai tindakan memecahkan gandingan asal, Jeremy berkata ia adalah sebahagian daripada strategi skuad negara dan bagi saingan suku akhir nanti, ia akan diputuskan selepas melihat hasil undian yang bakal menentukan siapa lawan Malaysia pada Khamis.

Ketika perlawanan menentang Korea Selatan pada Selasa yang menyaksikan skuad negara menang 3-2, V Shem digandingkan dengan Kien Keat sebagai beregu pertama negara manakala pasangan asalnya, Wee Kiong pula dipasangkan dengan Boon Heong.

"Saya rasa mereka (gandingan baharu) boleh tahan. Mereka main dengan baik tetapi Korea Selatan mempunyai beregu yang kuat serta konsisten terutamanya Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

"Gandingan kedua kita juga kuat cuma kalau Boon Heong main dengan lebih baik sedikit semalam (Selasa), kita kemungkinan boleh menang," katanya.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata beliau sangat berpuas hati dengan prestasi Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat.

"Saya dapat lihat penampilan mereka sangat stabil walaupun berdepan lawan yang kuat. Apa yang saya dapat lihat, mereka berani memberi tentangan,"katanya.

Skuad negara menjuarai Kumpulan C selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut ke atas England 4-1, Jerman 5-0 dan Korea Selatan 3-2.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengelak diundi bertemu lawan sukar yang terdiri daripada juara kumpulan, di peringkat suku akhir.

Proses undian hanya akan dilakukan selepas tamat semua perlawanan peringkat kumpulan, Rabu malam. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain